BeritaProgram

TUNS, TUNS PLUS dan TUNS EXTRA bantu usahawan majukan perniagaan

Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), TUNS PLUS dan TUNS EXTRA diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan mereka.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Keusahawanan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abd Malek berkata, inisiatif TUNS yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2019 ini sangat membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka.

“Mungkin bantuan RM3,000 (TUNS) tidak besar tapi ianya sangat membantu peniaga kecil seperti peniaga menjual murtabak, mee goreng dan nasi lemak membesarkan perniagaan mereka.

“Inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri ini mendapat sambutan cukup baik daripada peniaga kecil (TUNS) dan usahawan kecil (TUNS PLUS),” kata beliau.

Usahawan mestilah maju dari semasa ke semasa 

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, TUNS PLUS diperkenalkan pada tahun 2021 bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan mereka.

“Contohnya seorang usahawan mempunyai sebuah kedai runcit sejak 10 tahun lalu dan 10 tahun akan datang masih memiliki sebuah kedai runcit.

“Sepatutnya kalau 10 tahun dulu ada satu kedai runcit, sekarang dah ada beberapa kedai runcit dan 10 tahun akan datang mungkin memiliki rangkaian pasaraya.

“Inilah tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan TUNS PLUS iaitu pinjaman tanpa faedah maksimum RM15,000 dan TUNS EXTRA dengan geran padanan (matching grant) RM30,000,” jelas Mohamad Rafie.

TUNS EXTRA RM30,000

Sementara itu kata Mohamad Rafie, TUNS EXTRA yang diperkenalkan pada tahun ini (Belanjawan 2023), merupakan geran padanan dengan bantuan maksimum RM30,000.

“Sekiranya seorang pemohon yang berjaya ingin membeli sebuah mesin berharga RM60,000 untuk tujuan perniagaan, maka beliau hanya perlu mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM30,000.

“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) pula akan memberi RM30,000. Ini yang dipanggil geran padanan.

“Namun, sekiranya usahawan tersebut membeli peralatan berharga RM100,000; geran maksimum yang diberi tetap RM30,000,” kata Mohamad Rafie.

Kerajaan Negeri mahu peniaga kecil berdikari

Menurut Mohamad Rafie, dana TUNS, TUNS PLUS dan TUNS EXTRA yang diperuntukkan 100 peratus disalurkan kepada rakyat.

“Hal ini kerana tiada sebarang kos pengurusan dikenakan disebabkan kita mempunyai kakitangan PKNNS yang akan menguruskan proses permohonan TUNS, TUNS PLUS dan TUNS EXTRA.

“Kerajaan Negeri memperkenalkan TUNS, TUNS PLUS dan TUNS EXTRA bagi mendidik, membantu dan mengembangkan perniagaan usahawan kecil.

“Pada masa yang sama usahawan juga perlu membantu diri mereka sendiri.

“Hasrat Kerajaan Negeri mahu membantu peniaga dan usahawan kecil keluar dari masalah dan mampu berdikari,” ujar beliau lagi.

Rafie berkata demikian dalam temuramah khas bersama Negeri Kita.

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button