Pemilihan Undang Ditentukan Luak, Dakwaan Yang di-Pertuan Besar Melantik Undang Adalah Tidak Tepat – Datuk Juan Datuk Zulkipli

SERI MENANTI: Beberapa laporan media yang menggambarkan seolah-olah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memulakan, memilih atau melantik seseorang Undang adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan salah faham terhadap amalan Adat Perpatih yang menjadi tunjang pemerintahan adat negeri ini sejak sekian lama.
Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Buanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, mengikut Adat Perpatih, pemilihan seseorang Undang tidak bermula daripada Istana, sebaliknya ditentukan oleh badan-badan adat di dalam luaknya sendiri melalui proses yang telah ditetapkan.
“Proses tersebut melibatkan Lembaga, waris dan pada asasnya Ibu Soko yang mempunyai peranan dalam menentukan bakal Undang mengikut adat yang diwarisi turun-temurun.
“Seorang Undang tidak dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar. Beliau dipilih di dalam luaknya sendiri oleh badan-badan adat luak menerusi proses adat yang telah ditetapkan.
“Sebarang gambaran bahawa Yang di-Pertuan Besar memilih atau melantik seseorang Undang adalah tidak selaras dengan perjalanan Adat Perpatih yang diamalkan sejak berkurun lamanya di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Istiadat Mengadap Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti oleh Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau bagi memohon penetapan tarikh Istiadat Menyalang untuk menzahirkan kejadian Undang bagi bakal Undang Rembau di Istana Seri Menanti, hari ini.
Datuk Juan berkata, istiadat mengadap tersebut juga tidak wajar ditafsirkan sebagai campur tangan Istana dalam urusan pemilihan Undang kerana ia merupakan sebahagian daripada proses adat yang lazim diamalkan.
“Badan-badan adat luak hadir mengadap bagi memohon perkenan berhubung penetapan tarikh sesuatu istiadat, dan inisiatif itu datang daripada luak sendiri.
“Apa yang berlaku baru-baru ini ialah wakil-wakil luak datang mengadap ke Istana menurut adat untuk memohon perkenan bagi penetapan tarikh sesuatu istiadat. Inisiatif tersebut adalah milik luak dan bukannya Istana.
“Duli Yang Maha Mulia tidak memanggil, tidak memilih dan tidak melantik mana-mana pihak atas kehendak Baginda sendiri,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa peranan Yang di-Pertuan Besar adalah menerima mengadap wakil-wakil luak serta memperkenankan dan mengiktiraf keputusan yang telah dibuat oleh luak mengikut lunas adat apabila tiba masanya.
Katanya, sistem Adat Perpatih meletakkan kuasa adat bermula daripada akar masyarakat, manakala Yang di-Pertuan Besar bertindak sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan adat dan institusi negeri.
“Yang di-Pertuan Besar berperanan sebagai pemberi perkenan terhadap keputusan yang telah dibuat menurut adat, bukannya pihak yang mewujudkan atau menentukan keputusan tersebut.
“Keprihatinan Baginda sentiasa tertumpu kepada usaha memastikan Adat Perpatih terus terpelihara dan dihormati,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak Istana tidak akan mengulas mengenai perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah.



