BeritaMenarik

Walaupun hujan, kenduri rakyat dapat sambutan masyarakat Orang Asli

PORT DICKSON: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Wakil Rakyat dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH NS) telah mengadakan program Khidmat Sosial Komuniti Orang Asli serta Latihan Amali Dakwah di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr.Khazri Osman berkata, pihaknya telah mengadakan program ceramah dan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Pasir Panjang.

“Kita juga menganjurkan pelbagai acara termasuk program agama, sukaneka, pertandingan mewarna dan gubahan menggunakan bahan kitar semula yang disertai oleh golongan kanak-kanak dan dewasa.

“Menariknya menu untuk jamuan rakyat dimasak secara gotong royong oleh penduduk kampung dan pelajar UKM.

“Meskipun dalam keadaan hujan, kenduri rakyat tetap mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat setempat.

“Mereka begitu teruja dengan kehadiran isteri kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, YABhg Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan tiga Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Wan Hasni yang juga Yang DiPertua BAKRIYAH turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak yang hadir.

Exco Kerajaan Negeri yang hadir ialah Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, YB Dato’ Mohd Faizal Ramli yang juga ADUN Linggi; Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, YB Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Show More

Related Articles

Back to top button