
Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan (Wanita PH NS) telah mengadakan Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan Kedua pada 12 Januari 2025 di Dewan Tanjung 1, Ancasa Resort, Port Dickson.
Konvensyen tersebut merupakan acara kemuncak pemukiman dua hari satu malam yang disertai oleh parti komponen iaitu KEADILAN, DAP dan AMANAH yang diwakili oleh pimpinan sayap wanita masing-masing.
Perjalanan sebagai seorang wanita dalam arena kepemimpinan bukanlah mudah, namun kita telah membuktikan bahawa wanita mampu memimpin dengan cemerlang dan membawa perubahan bermakna kepada masyarakat.
Kepemimpinan wanita di Negeri Sembilan telah menunjukkan pencapaian yang sangat membanggakan.
Sebagai pemimpin wanita, kita memikul tanggungjawab besar, bukan sahaja perlu memimpin dengan cemerlang, tetapi juga perlu menjadi mentor dan pembimbing kepada generasi akan datang.
Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, kita harus memastikan bahawa nilai-nilai integriti, keadilan, dan kesaksamaan sentiasa menjadi pegangan.
Kita perlu berdiri teguh sebagai inspirasi kepada mereka yang mencari kekuatan untuk melangkah maju, terutama dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Kita juga harus berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan wanita, kerana hanya melalui sokongan bersama dapat mencipta impak yang lebih besar dalam masyarakat.
Marilah kita menjadikan kepimpinan ini bukan sekadar satu gelaran, tetapi satu amanah untuk membawa perubahan yang bermakna kepada semua.
Apabila berjaya memimpin keluarga dengan kasih sayang, hikmah, dan ketegasan, kita sedang mewujudkan generasi yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mempunyai jiwa yang seimbang.
Inilah contoh kepimpinan yang kita harapkan dapat diterjemahkan di setiap peringkat kehidupan iaitu di rumah, di tempat kerja, dan dalam masyarakat.
Oleh itu, marilah jadikan diri kita pemimpin yang menginspirasi, bukan sahaja di ruang awam, tetapi juga di ruang peribadi, kerana kejayaan kepimpinan bermula dengan bagaimana kita memimpin keluarga dan diri sendiri.
Melalui Pemukiman yang diadakan ini, Wanita PH NS sepakat bersama hasilkan Resolusi Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan 2025, iaitu:
1. Mengekalkan dan Memperjuangkan kuota 30 peratus calon wanita pada pilihanraya bagi kerusi yang sesuai dan selamat di Negeri Sembilan.
2. Kolaborasi strategik dalam semua parti bagi melahirkan pelapis kepimpinan wanita yang berkompetensi.
3. Memberikan pendedahan ilmu serta kefahaman politik dan kepimpinan wanita di semua peringkat.
4. Mempromosikan Pakatan Harapan kepada rakyat melalui pelbagai strategi.
5. Menjuarai dan menangani isu serta permasalahan bagi mewujudkan kepercayaan rakyat.
6. Menzahirkan Aspirasi Rukun Negara dalam segala aspek kehidupan serta gerak kerja politik demi perpaduan dan keharmonian.
7. Wanita PH NS hendaklah berfikir mengikut arus dan berani mencipta arus yang baharu serta berusaha mencipta peluang dengan kebijaksanaan seterusnya, tidak hanya berdiri teguh, tetapi mengangkat insan lain untuk berjaya cemerlang sama-sama.
Kami mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang sentiasa memberi dorongan, sokongan dan panduan.
Kami menyambut baik cadangan dan menyahut cabaran daripada beliau agar Wanita Pakatan Harapan harus dilihat lebih aktif menyertai program-program Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
Bersama-sama, kita terus memimpin, membugar harapan, dan membawa perubahan untuk masa depan yang lebih baik bagi Negeri Sembilan dan Malaysia.
Pengarah Program Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan 2025
Merangkap Ketua Wanita Parti Amanah Negara Negeri Sembilan (AMANAH)
Zarinna Abu Zarin
Timbalan Pengarah Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan
Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman
Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan
Nicole Tan Lee koon
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan
Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim