Whatsapp perkenal ciri ‘message request’, tapis mesej nombor tak dikenali

WhatsApp kini sedang membangunkan ciri baharu dikenali sebagai Message Request yang membolehkan pengguna menapis mesej daripada nombor yang tidak disimpan.
Melalui ciri ini, mesej daripada nombor tidak dikenali tidak akan disekat sebaliknya dikawal dari segi cara ia dipaparkan dalam aplikasi.
Menerusi tetapan baharu ‘Who Can Message Me’, pengguna boleh memilih antara dua pilihan utama iaitu ‘Everyone’ atau ‘My Contacts’
Jika memilih ‘Everyone’, semua mesej termasuk daripada nombor tidak disimpan akan terus dipaparkan dalam senarai sembang seperti biasa. Namun, jika memilih ‘My Contacts’, mesej daripada nombor yang tidak disimpan akan dialihkan ke folder khas berlabel ‘Requests’.
‘Folder Requests’ ini berfungsi seperti ciri mesej di Instagram yang memisahkan mesej baharu bagi mengelakkan gangguan pada senarai sembang utama.
Dalam folder tersebut, pengguna boleh melihat nama, gambar profil serta kandungan mesej sebelum memutuskan sama ada mahu membalas, memadam, melaporkan atau menyekat penghantar.
Sebaik sahaja mesej dibalas, ia akan dipindahkan secara automatik ke dalam senarai sembang utama pengguna.
Ciri ini dijangka meningkatkan privasi serta kawalan pengguna terhadap mesej yang diterima melalui platform tersebut.



