Yew adakan pertemuan komuniti India bincang isu tanah perkuburan di DUN Chuah

CHUAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Dato’ Yew Boon Lye telah mengadakan pertemuan bersama komuniti India Bukit Pelandok bagi membincangkan isu kekurangan tanah perkuburan India yang telah berlarutan lebih dua dekad di kawasan DUN Chuah.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Pengerusi JPKK Kampung India, Encik Selvan A/L Muniandy bersama barisan ahli jawatankuasa kampung serta pemilik tanah yang terlibat, bertujuan mendapatkan gambaran jelas dan persefahaman bersama berhubung penyelesaian isu berkenaan.
Yew berkata, bahawa kerja-kerja pengukuran tanah akan dilaksanakan bagi mengenal pasti keluasan tanah yang telah memasuki kawasan persendirian.
“Langkah ini penting sebagai persediaan untuk mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri bagi proses pengambilalihan tanah.
“Isu kekurangan tanah perkuburan India ini sebelum ini telah dibangkitkan dalam persidangan dewan dan menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Negeri.
“Justeru itu, kerja-kerja pengukuran yang dijalankan merupakan langkah seterusnya ke arah merealisasikan hasrat dan keperluan masyarakat India di kawasan tersebut,” kata Yew.
Yew turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan isu berkenaan sehingga satu penyelesaian muktamad dapat dicapai, demi kebajikan dan keperluan komuniti setempat.
Beliau berharap pertemuan ini menjadi satu perkembangan positif dan titik tolak kepada penyelesaian isu tanah perkuburan yang telah lama dinantikan oleh masyarakat India di Bukit Pelandok dan DUN Chuah secara keseluruhan.



