Berita

Zahid Hamidi Tekankan Langkah Strategik Perkukuh Ekonomi Bumiputera

SEREMBAN : Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) memberi fokus kepada inisiatif strategik kerajaan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera.

Melalui satu hantaran di media sosial hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa fokus utama adalah memastikan ekonomi Bumiputera terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Tiga tindakan utama telah diarahkan untuk dilaksanakan segera, termasuk penilaian menyeluruh merentasi sektor kritikal bagi memahami impak sebenar di lapangan,” katanya.

Intervensi bersasar itu akan dilaksanakan melalui pembiayaan lebih fleksibel, pemberian insentif kos serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan.

“Pelaksanaan juga perlu dilakukan secara tegas dan berakauntabiliti tanpa kelewatan dengan pemantauan rapi bagi memastikan keberkesanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zahid menekankan kepentingan pendekatan jangka panjang termasuk mempercepatkan pendigitalan, memperkasa usahawan muda serta meneroka pasaran baharu.

“Langkah ini penting bagi memastikan ekonomi Bumiputera lebih mandiri dan kompetitif pada masa hadapan.
“Saya yakin, melalui usaha tersusun dan kerjasama semua pihak, ekonomi Bumiputera akan terus kukuh serta bersedia menghadapi cabaran global,” ujarnya lagi.

Beliau telah mempengerusikan Mesyuarat JPMEB Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Tujuan mesyuarat tersebut diadakan adalah untuk melaksanakan langka yang tersusun bagi memastikan ekonomi Bumiputera terus kukuh dan bersedia bukan sahaja untuk masa pendek.

Selain itu, memerkasakan usahawan muda serta penerokaan pasaran baharu supaya ekonomi Bumiputera lebih mandiri dan kompetitif.

Show More

Related Articles

Back to top button