Zahid umum dividen KPFB 15 peratus

KUALA LUMPUR: Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) merupakan sebuah koperasi yang telah melalui perjalanan panjang lebih empat dekad bersama para peserta FELCRA di seluruh negara.
Bermula sebagai sebuah gerakan berteraskan kebajikan, KPFB kini muncul sebagai koperasi matang yang diurus secara profesional serta berkeupayaan menjana pulangan sebenar dan mampan kepada para ahlinya.
Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB Kali Ke-43 sebagai tanda penghargaan kepada barisan kepimpinan, para perwakilan serta seluruh warga koperasi yang terus konsisten menggalas amanah dalam membangunkan ekonomi peserta FELCRA.
“Alhamdulillah, berlandaskan prestasi kewangan yang stabil serta pengurusan yang berkesan, saya telah mengumumkan kadar dividen berasaskan operasi KPFB bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan sebanyak 15 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa koperasi yang diurus dengan baik dan berintegriti mampu memberikan pulangan yang adil serta berterusan kepada ahlinya.
“Saya mendoakan agar KPFB terus melangkah lebih jauh sebagai pemacu ekonomi koperasi peserta FELCRA dan seterusnya menjadi contoh unggul kepada gerakan koperasi di Malaysia, Insya Allah,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.



