Berita

Zakat dan Pembinaan: ‘Hasil Pembinaan, Iringi Berkat’

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah merasmikan Seminar Sinergi Zakat dan Pembinaan yang bertemakan ‘Hasil Pembinaan, Iringi Berkat’ di Royale Chulan.

Aminuddin berkata, tema yang dipilih ‘Hasil Pembinaan, Iringi Berkat’ memberi mesej penting bahawa kejayaan dalam sektor pembinaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan atau pencapaian fizikal, tetapi juga melalui keberkatan hasil yang diperoleh.

“Keberkatan itu hanya dapat diraih apabila kita menunaikan tanggungjawab agama antaranya ialah zakat perniagaan.

“Hasil yang diperolehi syarikat kontraktor merangkumi pencapaian projek, peluang pekerjaan, serta sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Namun, segala hasil itu perlu diperkukuh dengan keberkatan agar ia benar-benar memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja untuk syarikat, tetapi untuk ummah secara keseluruhan,” kata Aminuddin.

Aminuddin tambah, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mendukung pembangunan yang seimbang antara aspek material dan spiritual.

“Di bawah kerangka Malaysia Madani, kita tekankan nilai tanggungjawab sosial, keterangkuman dan kesejahteraan bersama.

“Maka itu, zakat bukan sekadar ibadah individu, tetapi turut menjadi instrumen dasar ekonomi negeri melibatkan usaha menyantuni yang miskin, memperkasa pendidikan asnaf serta membina rumah dan kehidupan khususnya kepada asnaf.

“Dalam konteks ini, zakat perniagaan yang ditunaikan oleh kontraktor-kontraktor Muslim bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat secara keseluruhan, malah menjadi asas penting kepada pembentukan ekosistem pembangunan yang berkat dan mampan.

“Di samping itu, ia juga secara langsung membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin di negeri ini,” jelas Aminuddin.

Menurut Amiuddin, dalam dunia korporat kini, pematuhan terhadap prinsip syariah dan tadbir urus yang beretika semakin menjadi penanda aras kelestarian.

Syarikat yang menunaikan zakat bukan hanya membina bangunan, tetapi membina masyarakat, memperkukuh ekonomi umat, dan membina kepercayaan pelanggan.

“Apa yang diharapkan selepas seminar ini adalah kontraktor Muslim hari ini bukan sekadar pelaksana projek pembangunan, malah juga duta nilai-nilai Islam dalam industri pembinaan.

“Kejayaan syarikat bukan hanya pada rekod teknikal atau prestasi kewangan, tetapi juga pada sejauh mana ia menunaikan tanggungjawab spiritual, terutama dalam menunaikan kewajipan berzakat.

“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa membuka ruang dan memberikan peluang kepada syarikat kontraktor Bumiputera Muslim untuk menyertai projek-projek kerajaan negeri.

“Oleh itu, saya menyeru agar peluang ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan disulami dengan komitmen menunaikan zakat sebagai pelengkap kepada kejayaan.

“Seminar seumpama ini amat besar maknanya bagi meningkatkan kesedaran dan komitmen dalam pembayaran zakat perniagaan, menghayati konsep penyucian harta sebagai nilai Islam dalam perniagaan, serta menggalakkan penglibatan syarikat kontraktor bersama MAINS dalam usaha memperkasa golongan asnaf,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button