KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datoβ Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya 11 peratus daripada keseluruhan Taman Industri Halal yang dibangunkan sejak 2009 mencapai matlamatnya.
“Beberapa isu utama telah dikenalpasti, antaranya adalah kekurangan insentif yang jelas bagi Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), infrastruktur yang masih belum mencukupi, serta keterbatasan rangkaian pengangkutan awam.
“Ini semua perlu diperbaiki untuk menarik lebih ramai pelabur dan menggalakkan pembangunan yang lebih holistik.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Halal Development Corporation (HDC) sebagai sekretariat bagi Jawatankuasa Petugas ini,” ujar beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal Bil.1/2024.
Mesyuarat ini adalah susulan daripada Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang telah diadakan pada Jun lalu,
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga akan melihat keperluan untuk memperluas strategi pemasaran jenama tempatan melalui kaedah Original Equipment Manufacturer (OEM), serta memperluas penggunaan bahan-bahan halal dalam industri.
“Saya lihat, pembangunan kesemua 14 Taman Industri Halal yang berkeluasan 13,533.11 ekar ini berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing.
“Ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu tetapi juga akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
“Oleh itu, saya sangat berharap agar platform ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat untuk membawa industri halal Malaysia ke tahap yang lebih tinggi seterusnya menjadikan Malaysia peneraju dalam industri halal dunia,” ulas Ahmad Zahid.