PUTRAJAYA: Salah satu agenda hala tuju negara ialah pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merangkumi dimensi kualiti kandungan, kuantiti penyertaan, capaian penguasaan dan praktik pengaplikasian.
Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), satu jawatankuasa khas STEM di bawah agenda payung Reformasi Pendidikan telah ditubuhkan, bagi melaksanakan sasaran penambahbaikan gerak kerja strategik bagi pemerkasaan pendidikan STEM, selari dengan aspirasi dan hala tuju negara kini.
Justeru itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, koordinasi bersama antara tiga kementerian tonggak iaitu KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dinilai sangat penting khasnya dalam menyelaras kegiatan dan melonjak usaha serta inisiatif di peringkat masing-masing dalam suatu landskap ekosistem STEM negara.
“Tempoh setahun lebih dalam pentadbiran kerajaan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerja-kerja awalan, maka pelaksanaan berskala penuh untuk pemerkasaan bidang STEM sedang dijajarkan.
“Keyakinan kita, perubahan signifikan akan terzahir hasilnya tidak lama lagi, melihat kepada kesungguhan pelbagai pihak dalam memberikan dukungan kepada fokus STEM di negara ini.
“Untuk rekod, mesyuarat penyelarasan STEM melibatkan KPM, KPT dan MOSTI telah diadakan pada 29 Mei 2024, bertempat di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya, dengan dihadiri oleh teraju utama bagi kementerian masing-masing,” kata Fadhlina.