Berita

2 kilang disiasat punca air berwarna putih di Sungai Gadut

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) telah mengambil tindakan tegas susulan aduan orang awam berhubung kejadian air berwarna putih di sekitar kawasan Sungai Gadut, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapapan Superamaniam berkata siasatan susulan telah dijalankan oleh pasukan penyiasat JASNS pada 27 Januari lalu di lokasi terlibat.

Menurut beliau, dua buah kilang yang beroperasi berhampiran kawasan tersebut telah disiasat bagi mendapatkan maklumat berkaitan aduan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat New Point Resources Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti guna semula plastik terpakai melalui proses basuhan dan extrusion. Namun, pelepasan air daripada proses tersebut didapati tidak melalui Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) sebelum dilepaskan ke longkang awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan ke atas Kim Hin Ceramics (Plant 2) Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti pembuatan seramik dan jubin.

“Premis ini didapati menggunakan longkang air hujan dalam kawasan kilang sebagai takungan efluen perindustrian (EP). Kebocoran pada kawasan takungan tersebut telah menyebabkan EP yang tidak dirawat terlepas ke longkang berhampiran,” jelasnya.

Sehubungan itu, JASNS menyimpulkan berlaku pelanggaran syarat pelepasan air buangan tanpa rawatan dan tindakan penahanan operasi telah diambil terhadap premis terlibat.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selain pengeluaran notis arahan kepada pihak kilang bagi melaksanakan pembaikan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Veerapapan menegaskan bahawa beliau memandang serius insiden pencemaran alam sekitar yang semakin berulang akibat sikap alpa segelintir pemain industri.

“Saya meminta JASNS memperhebatkan kekerapan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang ditetapkan. Tindakan tegas perlu diambil bagi membendung kejadian seumpama ini daripada terus berulang,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa kelestarian alam sekitar amat penting demi menjamin kesejahteraan dan masa depan generasi akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button