Berita

3.6 juta rakyat Malaysia hidup dengan kencing manis

PUTRAJAYA: Malaysia kini sedang berdepan cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, lebih 3.6 juta rakyat hidup dengan diabetes, sementara jutaan lagi bergelut dengan hipertensi dan obesiti.

“Angka ini bukan sekadar statistik kesihatan, tetapi gambaran realiti yang memberi kesan besar kepada keluarga, komuniti dan negara.

“Kos keseluruhan negara untuk menangani NCD merangkumi rawatan, kehilangan produktiviti akibat presenteeism dan absenteeism serta kematian pra-matang.

“Beban ini dianggarkan mencecah RM64.2 bilion setahun.

“Hakikatnya, NCD bukan lagi isu kesihatan semata-mata.

“Ia telah menjadi ancaman terhadap pembangunan ekonomi dan produktiviti negara,” kata Dzulkefly.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkukuh pencegahan, memperluas saringan awal dan memastikan intervensi yang lebih menyeluruh.

“Kesihatan rakyat adalah asas kekuatan negara, dan usaha mengekang gelombang NCD mesti menjadi keutamaan kita bersama.

“Kes diabetes, hipertensi, sakit jantung dan obesiti kini muncul pada usia yang semakin muda.

“Jika keadaan ini tidak dibendung, negara akan terus menanggung kos rawatan yang tinggi dan berisiko kehilangan tenaga kerja produktif pada masa hadapan,” ujar Dzulkefly.

Menurut Dzulkefly, Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada pencegahan kerana setiap ringgit yang dilaburkan untuk mencegah penyakit mampu menjimatkan puluhan ringgit untuk rawatan komplikasi.

“Inilah asas pendekatan KKM. Kita mahu beralih daripada sistem yang menunggu rakyat jatuh sakit kepada sistem yang menjaga rakyat sebelum penyakit bermula.

“Peralihan daripada sick care kepada health care adalah kunci untuk masa depan kesihatan negara,” jelas Dzulkefly.

Show More

Related Articles

Back to top button