BeritaMenarik

384 tan Beras Perpatih laris dijual setakat ini

JELEBU: Sebanyak 384 tan beras yang dihasilkan melalui penanaman padi di negeri ini sudah dijual kepada penduduk melalui program Jualan Nismilan Prihatin.

EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata sejak Mac lalu beras yang sebelum itu mengguna jenama syarikat lain sudah dijual menerusi program jualan berkenaan.

Katanya setiap bulan bermula Mac lalu sebanyak 48 tan beras dijual melalui program jualan anjuran Kerajaan Negeri.

“Beras itu kemudian dijenamakan semula sebagai Beras Perpatih bermula Ogos lalu dan dijual dengan harga RM13 bagi lima kilogram dan RM26 bagi 10 kilogram.

“Bagaimanapun seperti dimaklumkan, buat masa ini beras berkenaan hanya dijual menerusi Jualan Nismilan Prihatin yang diadakan disetiap daerah di negeri ini,” katanya ditemui selepas merasmikan Jelebu Agrofest di Dataran Pertang di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Dato’ Ir.Bakri Sawir; Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz dan Pengarah Pertanian Negeri Hisyam Yacob.

Jalaluddin berkata biarpun masih jauh daripada jumlah sebenar penggunaan tahunan beras di negeri iaitu 80,000 tan metrik, kita sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah pengeluaran padi dan seterusnya beras keluaran pesawah di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang juga Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan mengenai mutu beras jenama Perpatih itu.

“Sekiranya ada aduan, saya memberi jaminan supaya isu berkenaan disiasat dengan segera mamun setakat ini penduduk negeri ini sangat berpuas hati dengan mutu beras berkenaan,” katanya.

Sementara itu Hisyam berkata sebanyak 600 paket Beras Perpatih lima kilogram habis dijual dalam tempoh dua jam menerusi Jualan Nismilan Prihatin sempena Jelebu Agrofest.

Katanya selain itu 1,200 paket minyak masak yang dijual RM2 sepaket dan 200 papan telur yang dijual RM10 sepapan turut habis dijual dalam tempoh masa sama.

“Agrofest sudah diadakan di semua daerah di negeri ini dan Jelebu Agrofest merupakan penutup bagi program tahun ini sebelum diadakan semula pada tahun depan,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu.

Show More

Related Articles

Back to top button