80 peratus peniaga Pasar Besar Seremban patuh larangan beg plastik

SEREMBAN: Lebih 80 peratus peniaga di Pasar Besar Seremban telah mematuhi arahan Kerajaan Negeri untuk tidak lagi menggunakan beg plastik, sebaliknya beralih kepada penggunaan beg biodegradable kata Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar.
Menurut Arul Kumar, pematuhan tinggi dalam kalangan peniaga ini turut dibantu oleh peranan pembekal yang kini hanya membekalkan beg mesra alam kepada peniaga.
“Walaupun masih terdapat segelintir peniaga yang menggunakan beg plastik, mereka telah memberi komitmen untuk beralih kepada beg biodegradable dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke Pasar Besar Seremban.
“Sambutan positif juga ditunjukkan oleh para pengunjung pasar yang dilihat semakin ramai membawa beg kitar semula sendiri, membuktikan tahap kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar semakin meningkat.
“Bagaimanapun, saya berharap agar premis-premis perniagaan di luar pasar turut mengambil langkah sama bagi memastikan keseluruhan ekosistem bebas daripada penggunaan beg plastik.
“Selepas lebih dua tahun kempen kesedaran dilaksanakan dan pelbagai notis serta amaran dikeluarkan, penguatkuasaan telah mula dijalankan bagi memastikan peralihan ini benar-benar dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus membawa beg sendiri setiap kali keluar membeli-belah, selari dengan usaha bersama menjaga bumi untuk generasi akan datang.
“Kita mahu Negeri Sembilan menjadi antara negeri yang aktif meminimumkan penggunaan plastik. Langkah ini penting demi kelestarian alam sekitar,” katanya lagi.