TAMPIN: Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa berkata, sebanyak 239 unit rumah Projek Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Bukit Jalor dan 300 unit rumah di Felda Bukit Rokan Utara sedang dibina.
“Rumah-rumah ini dijangka akan diserahkan kepada pemohon secara berperingkat sebelum hujung tahun ini.
“Dalam pada itu, beberapa isu yang dibangkitkan melibatkan beberapa jabatan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan projek ini siap secepat mungkin.
“Sememangnya isu PGBF sudah lama membelengu pentadbiran kawasan ini dan semua pihak yang terlibat perlu bekerja keras agar isu PGBF diselesaikan segera mengikut jadual yang telah ditetapkan
“Selain itu, isu rumah kedua di tapak sedia ada dan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 yang perlu diteliti kembali dengan kadar segera,” kata Mohd Isam.
Mohd Isam berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PGBF di Felda Bukit Jalor dan Felda Bukit Rokan Utara bersama EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias.