Berita

Agih kekayaan, kurang kemiskinan, tingkat taraf hidup: Aminuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi keutamaan untuk membangunkan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pendekatan ini adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan yang sama rata, mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat seterusnya memberi impak positif kepada negara amnya dan Negeri Sembilan khususnya melalui penjanaan pendapatan yang lebih tinggi.

“Seperti yang kita sedia maklum, perancangan pembangunan yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan di kawasan luar bandar.

“Usaha dan komitmen yang berterusan adalah penting dalam memastikan pembangunan yang dirangka adalah komprehensif dan berdaya saing,” katanya di Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama (MOU) antara Perbadanan NS (NS Corp) dan Uniwall APS Holdings Berhad pada Khamis di Royal Chulan, Seremban.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri yakin usaha sama ini bakal merangsang pertumbuhan ekonomi dan keterhubungan pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti kawasan perindustrian, pelabuhan dan pusat-pusat komersial di dalam jajaran pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr.Razali Ab Malik.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button