BeritaMenarik

Aminuddin galak majikan sediakan persekitaran kondusif untuk pasaran buruh wanita

SEREMBAN: Isu penjagaan anak merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan wanita meninggalkan sektor pekerjaan atau mengambil keputusan untuk tidak bekerja langsung, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Oleh itu, perkara ini perlu dijadikan salah satu perhatian utama oleh pemain industri dan sektor awam untuk menggalakkan penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam sektor pekerjaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, beliau amat menggalakkan para majikan untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi kaum wanita kembali menyertai pasaran buruh.

“Saya percaya bahawa penyediaan taska di tempat kerja atau berdekatan dengan tempat kerja dapat menyumbang kepada peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor.

“Kolaborasi majikan dengan penyedia perkhidmatan taska ini juga akan membuka lebih banyak ruang untuk penjanaan ekonomi bagi wanita memandangkan secara puratanya pengusaha taska penjagaan anak-anak dipelopori oleh wanita.

“Dengan demikian, kita bukan sahaja meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh tetapi juga memperkukuhkan sektor ekonomi yang diterajui oleh wanita, menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mandiri.

“Melalui usaha bersama ini, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan menyokong peranan wanita dalam pembangunan negara secara menyeluruh,” ujarnya.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Karnival Wanita MADANI Negeri Sembilan 2024 di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button