Berita

Pembangunan tenaga mahir wanita perlu sokongan suami

SEREMBAN: Sokongan keluarga amat penting dalam menjamin kestabilan serta kesihatan mental dan emosi pekerja.

Justeru itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perkara ini tidak boleh dipandang enteng.

“Saya berharap agar usaha membangunkan wanita sebagai sumber tenaga kerja mahir dan separa mahir turut disokong oleh suami mereka.

“Tanpa sokongan suami, wanita akan menghadapi cabaran yang lebih getir untuk bertahan dalam sektor pekerjaan.

“Kita mahu pekerja yang bukan sahaja produktif dalam sektor pekerjaan, tetapi juga berdaya tahan dalam menghadapi cabaran sosial yang semakin mencabar,” ujar Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, tidak boleh dinafikan bahawa suasana ekonomi global pada masa kini menuntut suami dan isteri untuk sama-sama berada dalam sektor pekerjaan.

“Hanya dengan kerjasama dan sokongan daripada kedua-dua belah pihak, kita dapat memastikan kesejahteraan keluarga dan kemajuan ekonomi negara dapat seiring berkembang.

“Ini bukan sahaja akan memperkukuhkan institusi keluarga tetapi juga meningkatkan produktiviti dan daya saing negara di persada global.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong peranan wanita dalam ekonomi dan masyarakat, serta memastikan setiap individu mendapat peluang yang adil untuk mencapai potensi penuh mereka.

“Dengan cara ini, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk generasi akan dating,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Karnival Wanita MADANI Negeri Sembilan 2024 di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button