BeritaMenarik

Aminuddin lancar N9PAY, gerbang pembayaran tanpa tunai

NILAI: Gerbang Pembayaran Kerajaan Negeri Sembilan (N9PAY) telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di NS Fest 2024.

Aminuddin berkata, objektif N9PAY adalah untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang awam, meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan hasil kerajaan dan agensi negeri, sebagai platform setempat (one stop center) untuk orang awam membuat pembayaran secara cashless bagi pelbagai perkhidmatan oleh jabatan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri dan mempelbagai kaedah pembayaran dengan menyediakan gerbang pembayaran tanpa tunai (cashless) selain pembayaran secara konvensional di kaunter-kaunter pejabat kerajaan.

Pelaksanaan N9PAY mempunyai tiga Fasa iaitu:

Fasa 1 – Go Live bermula 1 Julai 2024

Pelaksanaan aplikasi web (web based application) dengan pembayaran melalui FPX/DuitNow.

Terdapat enam jabatan/agensi terlibat dan jenis perkhidmatan tersebut ialah:

• Bahagian Perumahan, PSUKNS (Sewaan Rumah Harga Rendah).
• Jabatan Mufti Negeri Sembilan (Pembelian buku).
• Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Zakat dan Wakaf).
• Majlis Bandaraya Seremban (Cukai Taksiran, Kompaun, Sewaan dan Pelbagai).
• Majlis Perbandaran Port Dickson (Cukai Taksiran, Kompaun dan Sewaan).
• Syarikat Air Negeri Sembilan (Bil Air).

Fasa 2 – Go Live bermula 1 Januari 2025

Pelaksanaan aplikasi mudah alih (mobile application) dengan tambahan kaedah pembayaran iaitu kad debit/kredit.

Manakala tambahan penyertaan sebanyak Sembilan jabatan/agensi dengan 20 perkhidmatan yang akan terlibat.

Fasa 3 – Go Live bermula 1 Julai 2025

Pelaksanaan tambahan kaedah pembayaran e-Wallet dan tambahan penyertaan 35 jabatan/agensi dengan 40 perkhidmatan yang akan terlibat.

Menurut Aminuddin, pembayar tidak perlu lagi untuk hadir ke kaunter–kaunter Kerajaan Negeri untuk membuat pembayaran.

“Ini dapat menjimatkan perbelanjaan seperti minyak dan bayaran letak kereta dan juga tenaga.

“Ia menyenangkan, malah memperkasakan kualiti hidup kita.

“Pembayar hanya perlu melayari satu portal pembayaran sahaja iaitu portal N9PAY yang mana semua pembayaran dapat diselesaikan sekaligus.

“Kaedah bayaran pula adalah berbagai yang meliputi FPX/DuitNow, e-Wallet, Kad Debit dan Kad Kredit.

“Manakala transaksi pembayaran direkod secara langsung dan bil yang kerap dibayar dapat disimpan bagi memudahkan pengurusan bayaran pada masa akan datang,” jelas beliau.

Aminuddin berkata, dengan rekod yang disimpan di N9PAY, ia dapat mengelakkan tunggakan bil daripada berlaku.

“N9PAY adalah salah satu contoh kepada semua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri supaya dapat mengoptimumkan sumber kewangan dan sumber manusia.

“Saya difahamkan pembangunan N9PAY melibatkan kepakaran fungsian dan teknikal yang ada di semua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.

“N9PAY juga memaksimumkan penggunaan perkakasan ICT sedia ada,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button