Kes penipuan Negeri Sembilan catat peningkatan

SEREMBAN: Jumlah kes penipuan di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan dengan anggaran kerugian sebanyak RM21.2 juta.
Ketua Polis Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, untuk tempoh dua bulan pertama kes ini mencatatkan peningkatan berbanding RM15.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bagi bilangan kes pula, sebanyak 526 kes dilaporkan berbanding 331 kes sebelum ini.
“Forex, kripto dan emas menjadi trend utama jenayah komersial yang melibatkan 77 kes dengan kerugian berjumlah RM9.8 juta manakala, sebanyak RM1 juta dicatatkan bagi ‘Love Scam’.
“Selain itu, kes penipuan kerja melalui platform media sosial direkodkan sebanyak 56 kes dengan kerugian RM778 ribu.
“Penipuan barangan dalam talian pula mencatatkan 92 kes dengan kerugian RM744 ribu.
“Oleh itu saya ingin menasihati orang ramau agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai skim pelaburan yang menjanjikan bulan dan bintang.
“Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, Alert List Bank Negara (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan jika terkesan dengan panggilan mencurigakan, hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
“Saya juga mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menyerahkan nombor pin akaun bank dan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada pihak lain bagi mengelakkan akaun digodam,” kata Ahmad Dzaffir.