BeritaYB Kita

SMATKEM catat pencapaian memberangsangkan, sasar GPS lebih baik SPM 2026

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun meneruskan lawatan ke sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Port Dickson menerusi Program Serahan Sumbangan Pemangkin Kecemerlangan SPM 2026, dengan kunjungan ke Sekolah Menengah Agama Telok Kemang (SMATKEM), hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau dimaklumkan bahawa SMATKEM mencatatkan pencapaian akademik yang membanggakan apabila merekodkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 2.36 kepada 2.13 bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melibatkan seramai 42 calon.

Sekolah itu turut meletakkan sasaran lebih tinggi bagi tahun ini dengan mensasarkan GPS 1.89, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar.

Lebih membanggakan, SMATKEM berjaya mengekalkan kadar kelayakan sijil 100 peratus selama empat tahun berturut-turut.

Aminuddin dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar membuat persediaan awal dan mengekalkan usaha secara konsisten dalam menghadapi peperiksaan.

“Kejayaan memerlukan disiplin, kesungguhan dan pengorbanan.

“Jangan tunggu saat akhir untuk membuat persediaan.

“Adalah amat penting peranan ibu bapa dalam menyokong pendidikan anak-anak bagi melahirkan generasi yang cemerlang.

“Pengorbanan hari ini, Insya Allah akan membuahkan hasil yang membanggakan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Show More

Related Articles

Back to top button