
Pada 23 April yang lalu, dalam Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-15, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menitahkan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa.
Ini bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri dapat berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
Sebelum mengakhiri ucapan, Baginda turut mengingatkan kepada individu-individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan yang tinggi, mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar.
“Beta juga menegaskan setiap keputusan mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa dan nafsu semata-mata,” titah Baginda.
Dari titah tersebut, kita boleh amati bahawa mereka iaitu pemimpin yang memikul tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat seharusnya menjalankan tugasan sebagai seorang pemimpin seperti biasa.
Namun, tepat pada jam 10:00 pagi Isnin 27 April, satu sidang media khas oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan menyatakan bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Dalam kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias, beliau menyatakan bahawa UMNO mendokong serta mempertahankan Institusi Adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Jika dilihat mempertahankan Institusi Adat juga bukankah bermaksud menuruti titah Tuanku Muhriz yang mahukan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan seperti biasa?
Tetapi, penarikan semula sokongan mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri menjadikan situasi di negeri ini tidak terurus.
Malahan, ia adalah satu pengisytiharaan bahawa mereka (UMNO) derhaka terhadap titah Tuanku Muhriz.
Setelah itu, pada petang semalam di Kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan, satu sidang media dibuat oleh Dato’ Seri Aminuddin Harun bersama-sama ADUN Pakatan Harapan yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan juga Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Dato’ MK Ibrahim Abdul Rahman.
Dalam kenyataan tersebut Aminuddin menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menasihati dan menitahkan agar Aminuddin meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara tersebut selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Kerajaan Negeri akan terus berfungsi seperti biasa, dalam memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Ini termasuklah usaha untuk meleraikan tindakan Dato’-Dato’ Undang yang ingin menurunkan takhta DYMM Tuanku Muhriz, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” ujar beliau.
Maka jelaslah bahawa tindakan yang dilakukan oleh UMNO tersebut hanyalah kerana mempunyai kepentingan politik sendiri.
Sudahlah derhaka terhadap titah Tuanku, malahan ingin mengulangi peristiwa tebuk atap sebagai mana yang dilakukan oleh Perikatan Nasional suatu masa dahulu.
Ketika berada di dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, mereka bergelak tawa dan episod kebaikan mereka seolah-olah adalah ikhlas.
Mereka ini sesuai dengan peribahasa ‘Depan manis bagai madu, belakang pahit bagai hempedu’.



