
Prestasi ringgit menjelang tahun 2026 berada di kedudukan terbaik dalam kalangan negara-negara rantau Asia telah menjadi hujah kepada keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi yang dipandu oleh Kerajaan MADANI.
Pengukuhan ringgit yang dicapai menjelang tahun 2026 tidak berlaku dalam keadaan mengejut, ia berlaku secara kecil tetapi konsisten bermula semenjak tahun 2022 kerana pelabur memerlukan masa untuk menguji kekuatan asas ekonomi bagi membentuk keyakinan jangka masa panjang.
Keyakinan tidak datang secara terus dalam kalangan pelabur ketika YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (PMX) mula mengambil tampuk pemerintahan pada tahun 2022, pada waktu itu pelabur lebih memilih dolar AS menjadi pelaburan mata wang selamat.
Sepanjang tahun 2023 hingga 2025, Kerajaan MADANI mula mengatur kejelasan dasar fiskal bagi memulihkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ringgit.
Hasilnya dapat dilihat pada tahun 2026 apabila ringgit tidak lagi sensitif kepada kejutan atau perubahan pola ekonomi global, usaha Kerajaan MADANI yang sedaya-upaya cuba untuk mereformasikan dasar tatakelola akhirnya berjaya meyakinkan pelabur untuk memilih ringgit sebagai pilihan pelaburan.
Terdapat dakwaan dangkal yang mempertikaikan pengukuhan ringgit dengan alasan bahawa ia berlaku secara tidak sengaja, kelemahan dolar AS selepas tamatnya krisis pandemik Covid-19 telah membuka ruang baru kepada pelabur untuk meneroka pasaran baru di kawasan Asia dan Eropah.
Malaysia menjadi salah satu pilihan utama pelabur berbanding pasaran lain di dunia selepas pelabur mula keluar dari pasaran dolar AS yang dianggap sebagai pelaburan mata wang selamat sebelum ini, perkara ini sudah tentu tidak berlaku secara kebetulan.
Kehadiran pelabur dalam pasaran Malaysia yang membawa natijah pengukuhan ringgit, berlaku atas dasar keyakinan, keadaan ini terbukti apabila ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia berbanding dolar US pada tahun 2026.
Kesan pengukuhan ringgit dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini melalui kos import yang lebih rendah yang membantu mengawal inflasi dan seterusnya meningkatkan kuasa beli pengguna.
Perkara ini telah dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan data pada tahun 2025 yang menunjukkan perdagangan runcit melibatkan pengguna tempatan telah meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun 2024.
Data tersebut jelas membuktikan kuasa beli rakyat Malaysia melibatkan barangan runcit (terutamanya makanan) telah meningkat saban tahun semenjak tahun 2022, menjelang tahun 2026 sudah pasti kuasa beli rakyat Malaysia akan semakin meningkat jika dilihat kepada laporan pengukuhan ringgit.
Keadaan tersebut turut dapat dilihat melalui laporan oleh MBSB Research yang menunjukkan pengguna di Malaysia terus berbelanja walaupun keadaan ekonomi global mencabar, berbanding dengan negara Asia lain kelihatan pengguna di Malaysia tidak terkesan sehingga perlu mengurangkan perbelanjaan pada tahun 2025.
Pengukuhan ringgit juga menatijahkan kepada penurunan harga barangan import terutama melibatkan produk seperti gadget, kenderaan, makanan dan ubat‑ubatan.
DOSM melaporkan pengukuhan ringgit telah mengakibatkan penurunan harga produk import mencecah sehingga 2 peratus berbanding harga asal, dalam keadaan tertentu penurunan harga produk import pernah turun sehingga mencecah 3 peratus (ia berlaku pada Disember 2025).
Penurunan harga melibatkan produk import tidak begitu kelihatan dalam kalangan golongan B40 kerana golongan tersebut tidak bergantung kepada produk import dalam kehidupan seharian, namun penurunan tersebut memberi makna besar kepada golongan peniaga kerana ia melibatkan kos operasi mereka.
Pengurangan kos operasi dalam kalangan peniaga tempatan akibat penurunan harga produk import memberi ruang kepada perniagaan meningkatkan margin keuntungan serta memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Justeru pengukuhan ringgit untuk skala besar bukan sahaja membantu perbelanjaan isi rumah untuk meningkat, ia juga membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.
Perkara ini telah disahkan melalui laporan DOSM yang menunjukkan kadar pengangguran Malaysia jatuh ke paras terendah dalam 11 tahun (semenjak tahun 2014) sekitar November 2025 pada kadar 2.9 peratus.
Kadar pengangguran yang semakin mengurang telah menghasilkan peluang pekerjaan dalam bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan kerana peningkatan peluang pekerjaan sekitar tahun 2025 banyak melibatkan sektor bank, insurans, fintech dan pelaburan modal.
Pasti wujud pandangan awam yang dilaungkan bahawa walaupun ringgit mengukuh namun harga barangan harian masih tidak turun seperti dijangka, keadaan ini menimbulkan kritikan terkait kos hidup yang masih membebankan sesetengah golongan walaupun ringgit kukuh.
Perkara ini perlu dibincangkan dengan berpandukan kepada asas bahawa pengukuhan ringgit secara makro tidak semestinya membantu golongan miskin dan menengah bawahan secara langsung, kesan tersebut lebih dirasai oleh golongan pelabur dan perniagaan secara terus.
Asas perbincangan isu kos sara hidup perlu dilihat melalui perkaitan pengukuhan ringgit boleh menjadikan barangan import lebih murah, namun harga barangan asas atau perkhidmatan tempatan tidak banyak berubah (sewa rumah, utiliti, pengangkutan).
Justeru peningkatan indeks ekonomi yang menunjukkan prestasi baik tidak dapat diterjemahkan secara langsung kepada beban hidup golongan bawahan, namun ia memberi kesan secara tak langsung kepada peningkatan pendapatan dan kuasa beli.
Secara kesimpulannya, pengukuhan ringgit walaupun cuba dinafikan dengan pelbagai hujah tetap tidak dapat dinafikan melalui laporan-laporan ekonomi peringkat antarabangsa yang menunjukkan kedudukan yang cemerlang dalam rantau Asia.
Walaupun manfaatnya tidak dapat dirasai secara terus oleh sesetengah golongan di Malaysia namun dasar kerajaan yang memfokuskan tindakan pro-rakyat seperti subsidi bersasar, kawalan harga barangan asas serta peluang pekerjaan yang inklusif dapat memastikan setiap rakyat dapat menikmati hasil pertumbuhan ekonomi secara adil dan saksama.
Dr. Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia




