MOTAC focus tarik pelancong Indonesia ke Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Malaysia termasuk Negeri Sembilan melalui kerjasama strategik bersama platform pelancongan serantau.
Menterinya, Tiong King Sing berkata, Negeri Sembilan kini antara negeri yang mula diketengahkan dalam pakej pelancongan bagi menarik minat pelancong Indonesia, selain destinasi popular lain di negara ini.
“Pertemuan bersama Travel4All membuka ruang baharu dalam memperkukuh promosi dua hala antara kedua-dua negara.
“Travel4All mempunyai rangkaian kerjasama dengan kira-kira 360 agensi pelancongan serta mengendalikan platform ‘Mampir Malaysia’ yang menawarkan perkhidmatan sehenti melibatkan tiket penerbangan, penginapan hotel dan pakej pelancongan bagi pasaran B2B dan B2C.
“Pasaran Indonesia mempunyai potensi pertumbuhan yang memberangsangkan dan usaha promosi dua hala perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau memaklumkan bahawa trend pelancongan semasa menunjukkan peningkatan permintaan terhadap perjalanan berbilang destinasi serta pelancongan berasaskan pengalaman dalam kalangan pelancong Indonesia.
Selain destinasi utama seperti Kuala Lumpur dan Melaka, negeri-negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak kini turut diketengahkan bagi mempelbagaikan produk pelancongan negara.
Tambah beliau, segmen pelancongan pendidikan juga dilihat semakin berkembang, sejajar dengan peningkatan minat pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian atau mengikuti program jangka pendek di Malaysia.
“Kerjasama seperti pertukaran pelajar, lawatan universiti dan ekspedisi pembelajaran berpotensi besar menarik lebih ramai pelancong muda ke negara ini.
“Dalam masa sama, sokongan terhadap sektor pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions) akan terus diperkukuh melalui insentif kepada syarikat dan organisasi untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran acara berimpak tinggi,” jelas beliau.
Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi perhatian terhadap aspek kemudahan perjalanan, termasuk proses kemasukan dan pengurusan pelancong berkumpulan bagi memastikan pengalaman pelancongan lebih lancar.
Beliau turut mengenal pasti pelancongan membeli-belah, gastronomi serta kesihatan dan gaya hidup sebagai antara fokus utama promosi pada masa hadapan.
“Indonesia merupakan pasaran jiran yang sangat penting bagi Malaysia dan kita akan terus mempererat kerjasama melalui Tourism Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong Indonesia serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata Tiong.
Turut serta dalam delegasi ini ialah Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.



