
PILAH: Seramai 30 peserta berjaya menamatkan Program Eco-Print Zero To Hero @ Wanita Negeri Sembilan yang berlangsung selama empat bulan, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif memperkasa wanita melalui kemahiran berasaskan komuniti.
Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, program yang diadakan di Balairaya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering itu merupakan hasil kerjasama strategik antara pejabat Exco melalui Wadani Negeri Sembilan dan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Majlis perasmian penutupan dan graduasi telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Bakriyah Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Program, Irwan Syah Md Yusoff, serta tenaga pengajar, fasilitator dan pasukan pelaksana yang menjayakan program tersebut.
“Program yang amat bermakna ini telah menunjukkan hasil apabila peserta yang mengikuti latihan sejak empat bulan lalu kini mampu menghasilkan produk yang membanggakan.
“Penglibatan UPM bukan sekadar sebagai rakan akademik, malah berperanan sebagai pelaksana utama dalam melatih dan membimbing komuniti wanita sehingga mencapai kejayaan.
“Kehadiran Datin Seri membawa makna yang sangat besar kepada semua peserta.
“Ini memberi mesej jelas bahawa usaha memperkasa wanita bukan usaha kecil, tetapi satu agenda besar yang mendapat perhatian dan sokongan kepimpinan negeri,” ujar Noorzunita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah.
Beliau berharap program seumpama itu tidak terhenti setakat pelaksanaan semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi satu gerakan lebih besar dalam memperkasa wanita di Negeri Sembilan.



