Berita

Sebuah ujian, sebuah harapan

Ujian kesihatan yang datang tanpa diduga telah mengubah sekelip mata kehidupan Mazlan Yahya, 48 tahun.

Disahkan menghidap strok otak akibat pendarahan di bahagian belakang kepala, beliau kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.

Di sebalik ujian ini, terpikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga dengan tiga orang anak yang masih bersekolah dan menyambung pelajaran.

Anak sulung terpaksa menangguhkan pengajian di TVET Kolej Yayasan Melaka, manakala anak kedua juga terpaksa menangguhkan peperiksaan SPM tahun ini kerana yuran yang masih belum dijelaskan.

Anak ketiga pula masih di bangku sekolah rendah, darjah dua.

Prihatin dengan keadaan ini, MAINS (Cawangan Senawang) telah turun menziarahi dan menghulurkan bantuan kewangan segera bagi meringankan beban yang ditanggung.

Selain itu, bantuan susulan turut disalurkan dalam bentuk bantuan bulanan dan barangan dapur bagi memastikan keperluan asas keluarga ini terus terjaga.

Turut bersama dalam ziarah ini ialah Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang tampil membawa sinar baharu apabila bersetuju membantu anak sulung keluarga ini untuk menyambung pengajian secara tajaan di Kolej YNS serta pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turun membawa bantuan barangan makanan kering.

Semoga dengan bantuan yang disalurkan, ia mampu menjadi titik mula untuk keluarga ini bangkit semula.

Sesungguhnya, setiap sumbangan zakat yang ditunaikan bukan sekadar bantuan, tetapi juga sinar harapan buat mereka yang memerlukan.

Show More

Related Articles

Back to top button