Isu Negeri Sembilan : Aminuddin Terus Jalankan Tugas Menteri Besar Mengikut Titah Tuanku – Perdana Menteri

SEREMBAN: Isu melibatkan perkembangan pentadbiran serta institusi Raja di Negeri Sembilan perlu diselesaikan secara tertib dan berlandaskan muafakat.
Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau telah menghadap Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir malam tadi bagi membincangkan perkara tersebut, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan baginda dalam menangani situasi berkenaan.
“Dalam pertemuan itu, saya menyokong penuh titah Tuanku agar Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Langkah ini penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara, di samping menjaga kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya.
Menurut Anwar, berdasarkan pengalaman serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, Aminuddin diyakini mampu meneruskan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa perkara berkaitan institusi Undang kini sedang ditangani melalui saluran yang sah serta kebijaksanaan pihak berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa keluhuran institusi Raja serta undang-undang negeri mesti terus dipelihara dan dipertahankan oleh semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan agar terus berhemah, beradab serta menjaga ketertiban dalam membicarakan isu berkaitan institusi Raja dan undang-undang negeri.
Melalui hantaran kenyataan di laman media sosial Anwar, beliau turut mengungkapkan pepatah adat sebagai peringatan kepada semua pihak:
“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” ujarnya.



