CHUAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mahu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem ekonomi digital di kawasan setempat.
“Usahawan tempatan digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini bagi memperluaskan capaian pasaran mereka melalui e-dagang, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kepada golongan muda pula, jadikan NADI sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran digital mereka dan membina kerjaya.
“Program-program seperti latihan dan kemahiran, pembuatan kandungan digital, e-sukan dan inovasi digital yang disediakan di NADI boleh membuka peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi dan dunia teknologi masa depan.
“Manfaatkan teknologi AI untuk membantu kehidupan harian kita serta memperbaiki cara kerja.
“Teknologi AI membantu masyarakat menjadi lebih berdaya saing dalam dunia digital ini.
“Tidak dinafikan bahawa perjalanan ke arah pemerkasaan teknologi ini bukan mudah,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian NADI Chuah, Port Dickson bagi Inisiatif Pelaksanaan 11 NADI Baharu.
Menurut Aminuddin lagi, terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi, termasuk isu-isu seperti akses kepada teknologi, kesedaran masyarakat memanfaatkan teknologi dengan cara yang betul.
“Namun, saya yakin bahawa NADI berperanan sebagai pusat penyebaran maklumat yang tepat dan terkini dalam usaha membantu masyarakat memanfaatkan penggunaan teknologi yang semakin berkembang.
“Melalui kerjasama dan peranan dari semua pihak, kita mampu mengatasi segala cabaran ini,” ulas beliau.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Program Perkhidmatan Pintar NADI yang telah diselaraskan di semua NADI melalui lima teras utama, iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
“Pusat NADI Chuah berpotensi untuk menjadi pusat komuniti serba guna yang bukan sahaja berfungsi sebagai platform digital, tetapi juga sebagai ruang interaksi sosial.
“Saya dimaklumkan sejak Julai tahun lalu, seramai 6,924 orang di Negeri Sembilan telah menyertai program Lima Perkhidmatan Pintar.
“Ini membuktikan bahawa program-program ini membantu dalam memperkasakan komuniti dan meningkatkan taraf hidup mereka,” ujar Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.
Pusat NADI Chuah menyediakan tiga fasiliti yang berbeza iaitu; perpustakaan, tadika dan Pusat NADI yang menawarkan kemudahan komputer riba dan kemudahan internet jalur lebar.