AMK Negeri Sembilan lapor polis isu fitnah PMX
SEREMBAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan telah membuat laporan polis berhubung isu fitnah yang dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan, Encik Afif Anuar berkata, laporan polis tersebut dilakukan adalah bagi memohon pihak polis mengambil tindakan terhadap isu fitnah yang dilakukan.
“Kenyataan yang dikeluarkan pihak pembangkang kononnya Perdana Menteri derhaka terhadap Titah Agong adalah satu fitnah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
“Laporan polis ini juga dilakukan kerana tidak mahu ia dijadikan polemik politik yang dimainkan pembangkang.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak terus terpedaya dengan isu yang dibawa oleh pembangkang, sebaliknya membuat kaji selidik sebelum mengulas isu ini,” kata Afif.
Afif turut menambah bahawa sebelum ini bukankah PAS juga merupakan parti yang melaungkan slogan ‘sumbat’ Najib ke dalam penjara?
“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lagi, kita dapat lihat bahawa mereka hanya memainkan isu bangsa, agama dan ekstremis hinggalah isu terbaru ini Titah Adendum.
“Oleh itu, perkara ini perlu dipandang serius kerana kita tidak mahu budaya seperti ini menjadi amalan dalam kalangan ahli politik di negara kita,” tambahnya.
Sehingga petang semalam, sebanyak 15 laporan polis dilakukan seluruh Negeri Sembilan berhubung isu ini.