Anak Negeri Sembilan dari USM bantu tingkatkan akademik pelajar sekolah
GEMENCHEH: Perkumpulan Mahasiswa Mahasiswi Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan satu program bagi meningkatkan semangat kekeluargaan dan pendidikan di komuniti setempat.
Program Jejak Waghih Siswa Ramadhan 2024 (JEWASIR’24) telah diadakan selama tiga hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Taha dan Masjid Al-Syakirin, Gemencheh.
Program ini telah melibatkan pelajar dan warga setempat dalam rangkaian aktiviti pendidikan dan keagamaan.
Program ini menampilkan pelbagai kegiatan yang bertujuan untuk mengintegrasikan nilai murni dan memperkuat hubungan antara mahasiswa dengan komuniti. Antara kegiatan yang dijalankan adalah sesi bimbingan akademik pasca-SPM/STPM, perkenalan kepada program pendidikan yang ditawarkan oleh USM, gotong-royong memasak untuk iftar, serta sesi membersihkan masjid dan kawasan perkuburan.
Kehadiran dan sokongan dari Yayasan Negeri Sembilan juga memberikan nilai tambah dengan memberikan informasi tentang bantuan pendidikan dan peluang kerjaya kepada peserta yang hadir.
Dengan kejayaan yang dicapai, pihak penganjur berharap dapat meneruskan program ini pada masa depan, dengan tujuan mengembangkan lagi pengaruh positif kepada lebih banyak komuniti.
Salah seorang peserta, Cik Aishah berkata, pelajar dan komuniti mendapat manfaat besar daripada program ini, khususnya dalam aspek keilmuan dan kerohanian.
“Program seperti JEWASIR’24 ini sangat penting untuk memupuk semangat ukhuwah dan kesedaran sosial di kalangan generasi muda,’ katanya.