Anthony Loke Seru Kempen Beretika, Hormati Institusi Diraja dan Adat Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Semua jentera dan penyokong parti diingatkan supaya mengamalkan kempen secara beretika dengan menjaga tutur kata serta menghormati institusi diraja dan adat Negeri Sembilan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berkata, keunikan sistem pemerintahan dan adat Negeri Sembilan merupakan warisan yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Setiap pemimpin serta petugas parti perlu lebih berdisiplin dalam menyampaikan mesej kempen bagi mengelakkan sebarang kenyataan atau gurauan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap institusi yang menjadi simbol keharmonian negeri.
“Kita mesti menjaga tata susila dan tutur kata sepanjang kempen. Jangan sesekali bergurau atau membuat jenaka mengenai sistem adat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sekiranya terdapat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti institusi berkenaan, pihak terbabit perlu mengambil tanggungjawab dengan segera memohon maaf sebagai tanda menghormati adat dan sistem pemerintahan negeri.
Menurutnya, PH sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Khusus di Negeri Sembilan, penghormatan turut diberikan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin yang menjadi sebahagian daripada keistimewaan sistem adat dan pemerintahan negeri itu.
“Negeri Sembilan mempunyai adat dan sistemnya yang tersendiri. Kita hormati Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Jangan sesekali kita menyentuh perkara yang boleh menimbulkan salah faham,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh jentera PH supaya memberi tumpuan kepada penyampaian tawaran kepada rakyat serta rekod pencapaian kerajaan negeri, bukannya terlibat dalam polemik yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh kempen.
Beliau turut mengingatkan penyokong PH supaya tidak melayan sebarang provokasi berkaitan institusi diraja dan adat negeri yang bertujuan mencetuskan perbalahan politik menjelang hari pengundian.



