Berita

Kekal Perjuang Islam Rahmatan Lil Alamin, Bantuan Bumiputera Berdasarkan Bakat dan Kelayakan Bukan Kroni – Mat Sabu

KUALA PILAH: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan parti itu kekal memperjuangkan pendekatan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ dengan memastikan bantuan dan peluang diberikan secara adil berdasarkan bakat, kemampuan serta kelayakan bukan atas dasar kroni.

Mat Sabu berkata, AMANAH tidak mahu memainkan isu perkauman sebaliknya memilih pendekatan berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bagi kita, kami di AMANAH tetap dengan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ iaitu Islam untuk semua.

“Kita tidak mahu mainkan isu perkauman. Walaupun ia ditonjolkan berkali-kali, kita tetap bersifat berlumba untuk mencapai kebaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah di sini.

Menurutnya, golongan Bumiputera yang mempunyai potensi dan kesungguhan untuk maju perlu terus diberikan sokongan oleh kerajaan.

Katanya, bantuan tidak seharusnya diberikan hanya kerana faktor kaum atau hubungan politik sebaliknya berdasarkan kemampuan individu untuk berjaya.

“Kalau Bumiputera yang berbakat perlu terus maju, maka kerajaan sedia membantu. Kita membantu di atas bakat dan kesungguhannya untuk maju.

“Dasar kita, nak bantu Bumiputera, bantu yang berbakat. Bukan kerana dia semata-mata Bumiputera, dia parti kita atau penyokong kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Sabu turut menyentuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim dalam menguruskan ekonomi negara serta usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Mat Sabu berkata, Anwar kini memainkan peranan penting dalam mewakili Malaysia di pentas dunia selain berusaha mencari peluang ekonomi baharu demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, pelbagai langkah yang diambil kerajaan termasuk usaha memperkukuhkan ekonomi negara membuktikan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan masa depan rakyat terus terpelihara.

“Kita boleh kritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita boleh kata apa kelemahannya. Tetapi saya nak beritahu, saya bergerak di peringkat antarabangsa ini telah lama.

“Kita tahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang sedang berada di persada antarabangsa yang cukup hebat mewakili Malaysia,” katanya.

Mat Sabu berkata, usaha Anwar dalam mencari peluang ekonomi termasuk meneroka hubungan dengan pelbagai negara menunjukkan pendekatan pemikiran jauh ke hadapan.

Katanya, kestabilan ekonomi negara perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

“Bagi Perdana Menteri itu, dia tidak peduli orang hargai atau tidak. Yang penting nak menyelamatkan ekonomi Malaysia ini untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mat Sabu memuji keadaan Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan stabil dengan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar serta diterima baik oleh rakyat.

Mat Sabu berkata, kestabilan politik negeri menjadi antara faktor penting dalam memastikan pembangunan dan pentadbiran dapat diteruskan.

“Pentadbiran Negeri Sembilan berjalan dengan lancar, tidak ada kesombongan yang melampau, tidak ada kita dengar penindasan yang berlaku di pihak-pihak tertentu.

“Ia berjalan dengan lancar dan diterima oleh rakyat Negeri Sembilan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Mat Sabu turut menyifatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sebagai ‘poster boy’ PH Negeri Sembilan yang menjadi figura utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mat Sabu yakin rakyat Negeri Sembilan tidak keliru dalam membuat pilihan serta akan terus memberikan sokongan kepada PH berdasarkan rekod pentadbiran yang telah ditunjukkan.

“Insya-Allah kita lihat dalam suasana demokrasi yang rakyat yang kadang-kadang bercelaru nak undi yang mana tetapi rakyat Negeri Sembilan tidak keliru.

“Insya-Allah 1 Ogos nanti Pakatan Harapan (PH) diisytiharkan menang dan kita akan mulakan kebangkitan semula Pakatan Harapan hebat melalui Negeri Sembilan ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button