Dari Sikamat Ke Linggi, Babak Baharu Keberanian Politik Aminuddin Bermula Esok

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menjadi antara tumpuan utama Pilihan Raya Dewan Undang Negeri (PRU) di Negeri Sembilan ke-16 apabila membuat penampilan sulung di Linggi selepas empat penggal mewakili DUN Sikamat.
Perpindahan kawasan itu menjadikan Linggi sebagai medan baharu buat Aminuddin untuk mendapatkan mandat daripada pengundi di kawasan tersebut selain meneruskan agenda pentadbiran negeri yang diterajui beliau sejak 2018.
Lima kerusi DUN di daerah Port Dickson iaitu Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Sri Tanjung dijangka menjadi tumpuan apabila proses penamaan calon berlangsung di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, esok.
Bagi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dipertaruhkan di DUN Linggi manakala empat lagi calon ialah Yew Boon Lye di Chuah, Choo Ken Hwa di Lukut, Nasir Raman di Bagan Pinang dan Dr G. Rajasekaran di Sri Tanjung.
Pertaruhan Aminuddin di Linggi dilihat membawa cabaran berbeza selepas beliau meninggalkan kerusi Sikamat yang disandangnya selama dua penggal sejak 2013.
Sebagai Menteri Besar, Aminuddin sebelum ini mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan yang menyaksikan beberapa perkembangan ekonomi dan pelaksanaan projek pembangunan termasuk pembangunan Midport Smart AI Port di Pasir Panjang, Port Dickson.
Projek berimpak tinggi itu melibatkan pelaburan bernilai RM3.4 bilion dan dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan selain pembangunan Zon Bebas Port Dickson seluas 1,400 ekar sebagai sebahagian usaha memperkukuh sektor logistik serta pelaburan negeri.
Selain itu, pentadbiran kerajaan negeri turut merekodkan peningkatan kutipan hasil negeri dan pelaksanaan beberapa inisiatif berkaitan perumahan, kebajikan rakyat serta pembangunan infrastruktur sepanjang tempoh pemerintahannya.
Di DUN Linggi, Aminuddin akan berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli dalam pertandingan yang dijangka menjadi antara kerusi tumpuan di Port Dickson.
Sementara itu, BN mempertaruhkan Pau Jeou Ching di DUN Chuah dan A. Achutan di Sri Tanjung, manakala kerusi DUN Lukut diserahkan kepada calon MIPP, Sathes Kumar Nilameham.
Bagi DUN Bagan Pinang pula, Perikatan Nasional (PN) menampilkan Abdul Fatah Zakaria sebagai calon.
PRN Negeri Sembilan ke-16 melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan proses penamaan calon ditetapkan berlangsung esok diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.
Langkah Aminuddin bertanding di Linggi dijangka menjadi perhatian apabila beliau memilih meninggalkan kawasan Sikamat yang diwakili selama dua penggal yang merupakan satu keputusan yang dilihat sebagai kesediaan untuk keluar daripada zon selesa dan menyahut cabaran baharu dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.



