
NILAI: Tiga projek melibatkan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sedang dilaksanakan bagi menangani isu banjir yang sekian lama membelenggu Pekan Nilai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat daripada kerajaan, menjadi tanggungjawabnya bukan sahaja membantu kebajikan penduduk, malah menyelesaikan isu-isu berlarutan melalui kerjasama semua agensi berkaitan.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, saya ada tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah rakyat di kawasan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak boleh pisah. Bila kita dalam kerajaan, kita perlu memainkan peranan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, setiap tahun lebih RM1 juta peruntukan daripada Kerajaan Negeri disalurkan kepada penduduk di kawasan Nilai melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan, komputer riba, bantuan kepada pesakit serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagaimanapun, katanya, keutamaan turut diberikan kepada penyelesaian isu infrastruktur yang memberi kesan besar kepada penduduk, khususnya masalah banjir di Pekan Nilai.
Katanya, projek pertama melibatkan peruntukan RM700,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaik taraf sistem perparitan di Pekan Nilai dan projek itu telah siap dilaksanakan.

Selain itu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM3.9 juta bagi menaik taraf kolam takungan di Desa Jasmin, Nilai yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air sebelum dilepaskan secara berperingkat ke Pekan Nilai.
“Kolam takungan ini berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan air seketika dan dilepaskan secara berperingkat apabila berlaku hujan.
“Kerja-kerja menaik taraf ini akan membolehkan air hujan disimpan beberapa kali ganda lebih banyak, sekali gus mengurangkan air yang mengalir terus ke Pekan Nilai dan mengurangkan risiko banjir,” jelas Arul Kumar.
Arul Kumar yang juga Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan berkata, kontraktor bagi projek berkenaan telah dilantik dan kerja-kerja pembinaan bermula kira-kira dua minggu lalu.
Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batang Labu yang kini berada pada peringkat reka bentuk sebelum kerja fizikal dimulakan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek RTB itu dijangka melengkapkan usaha jangka panjang dalam menangani isu banjir di kawasan berkenaan.
“Saya percaya dengan pelaksanaan ketiga-tiga projek ini, langkah jangka pendek sudah siap, langkah jangka sederhana sedang dilaksanakan dan langkah jangka panjang melalui RTB Sungai Batang Labu akan menyusul.
Kita harap isu banjir di Pekan Nilai dapat diselesaikan,” ujar beliau.



