Bahang PRN NS16: Linggi Meriah Dengan Kehadiran Ratusan Penyokong Aminuddin
PORT DICKSON: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mula dirasai apabila ratusan penyokong parti bertanding mula membanjiri kawasan sekitar Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson menjelang proses penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi disini.
Kira-kira 500 penyokong Pakatan Harapan (PH) hadir seawal pagi dengan mengibarkan bendera parti sambil melaungkan slogan “Reformasi” sebagai tanda sokongan kepada calon PH, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Aminuddin ialah Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Dr Fuziah Salleh, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi, Chan Ming Kai dan Hannah Yeoh Tseow Suan
Dalam masa sama, penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon (PPC) bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Suasana di sekitar PPC berlangsung meriah namun terkawal dengan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal laluan masuk serta memantau pergerakan penyokong daripada ketiga-tiga gabungan parti.
Proses penamaan calon dijadualkan bermula tepat jam 9 pagi dengan semua bakal calon diberi tempoh sehingga jam 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Tumpuan di DUN Linggi terarah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang membuat penampilan sulung di kerusi itu selepas empat penggal mewakili DUN Sikamat.
Sejurus proses penamaan calon selesai dan senarai calon yang layak bertanding diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tempoh berkempen selama 14 hari akan bermula menjelang hari pengundian yang ditetapkan pada 1 Ogos.
Pihak berkuasa turut mengingatkan penyokong semua parti agar mematuhi arahan keselamatan serta tidak menimbulkan sebarang provokasi bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dengan aman dan lancar.



