Berita

Anwar kembali ke Malaysia selepas jayakan rangka lawatan tiga negara di Afrika

NAIROBI: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selamat berlepas pulang ke tanah air selepas menamatkan rangka lawatan rasmi ke tiga negara di benua Afrika, sekali gus mengukuhkan komitmen baharu Malaysia untuk mempererat kerjasama dengan rantau itu.

Pesawat khas Malaysia Airlines membawa Perdana Menteri berlepas dari State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta pada jam 7 malam waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Beliau dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Selasa.

Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi ketua perniagaan.

Lawatan bersejarah Perdana Menteri ke Ethiopia sebelum ini memberi fokus kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia dengan benua Afrika melalui kunjungan ke ibu pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa. Lawatan selama tiga hari bermula 18 November itu merupakan yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke negara berkenaan, selain menjadi lawatan balas kepada kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024.

Dari Addis Ababa, Anwar meneruskan perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja dari 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum berlepas ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November.

Dalam lawatan rasmi ke Kenya, Malaysia dan Kenya bersetuju memperkukuh dan memperbaharui hubungan dua hala yang telah lama terjalin kepada tahap perkongsian strategik, mencatat satu lagi pencapaian penting dalam hubungan diplomatik 60 tahun antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak juga menegaskan komitmen untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, memperluas eksport Kenya ke Malaysia serta eksport Malaysia ke Kenya, selain memperkukuh kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.

Antara eksport utama Kenya ke Malaysia ialah teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu, manakala eksport Malaysia ke Kenya merangkumi minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian serta getah.

Show More

Related Articles

Back to top button