SEOUL: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ketua Pengarah Eksekutif semasa sesi ‘C-Suite Insight Session’ serta memberi ucapan di Forum Perniagaan Malaysia-Korea 2024.
Anwar berkata, acara ini memberi penekanan pada aspek hubungan erat antara Malaysia dan Republik Korea selain melonjak komitmen Malaysia pada inovasi dan pertumbuhan yang mampan.
“Di acara Forum, saya mengalu-alukan kebersamaan lebih 200 peserta dari 147 syarikat Korea dari pelbagai lapangan; semikonduktor, kenderaan elektrik, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
“Di ruang yang sama, saya telah berkongsi kebijakan Malaysia di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang didukung oleh inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan Pelan Strategik Semikonduktor.
“Platform C-Suite tersebut ternyata memberi ruang kepada Malaysia untuk berbincang terus dengan pemuka-pemuka syarikat terkemuka Korea seperti Samsung, SIMMTECH, Poongsan Corporation, Lotte Energy Materials, Kumho Petrochemical dan lain-lain,” kata Anwar.
Anwar berkata, syarikat-syarikat tersebut mempersembah rencana mereka untuk Malaysia termasuk pelaburan di sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu, pemprosesan nadir bumi, dan industri halal.
“Komitmen mereka kepada Malaysia sangat mengujakan selain mempamer keyakinan mereka kepada kestabilan Malaysia, selain dasar dan sebagai destinasi pelaburan yang strategik.
“Justeru itu, saya mengalu-alukan para pelabur dari Republik Korea untuk meneroka pelbagai peluang yang ada dan bersama dalam usaha melonjak dan mencapai kesejahteraan,” ujar Anwar lagi.