Berita

ARUL KUMAR: Jangan timbul panik, buat aduan dulu sebelum tular

SEREMBAN: Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman kerja pembinaan atau aktiviti berhampiran saluran paip gas tanpa membuat laporan rasmi terlebih dahulu, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar, berkata sebarang aduan sepatutnya disalurkan terus kepada pihak berwajib seperti Gas Malaysia Berhad agar tindakan lanjut dapat diambil.

“Jika sesuatu perkara yang belum disahkan ditularkan, ia boleh memberi tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak bertindak, sekaligus menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang awam.

“Sebaiknya, salurkan maklumat kepada pihak berkaitan terlebih dahulu supaya perkara itu boleh disiasat dan ditangani secara berkesan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan di Sendayan, hari ini.

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial menunjukkan papan tanda amaran Gas Malaysia di tepi jalan berhampiran sebuah tapak pembinaan, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Arul Kumar memuji kepekaan orang awam terhadap isu keselamatan melibatkan saluran paip gas dan menyifatkannya sebagai langkah berjaga-jaga yang penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti insiden letupan di Putra Heights, Selangor.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus bertindak secara proaktif sekiranya menerima aduan berkenaan pencerobohan atau aktiviti tidak sah di kawasan sensitif.

“Setiap pemaju perlu mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan sebelum memulakan kerja tanah serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa projek perumahan yang dimaksudkan tidak terletak di atas laluan paip gas, sebaliknya kerja-kerja pembinaan masih dijalankan di dalam kawasan milik pemaju.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Mohd Kamal Mohd Yusof, meminta agar semua pemilik saluran paip yang berhampiran dengan kawasan projek agar menyediakan penanda lokasi yang lebih jelas.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan jentera berat daripada memasuki kawasan sensitif yang boleh menimbulkan risiko semasa kerja tanah dijalankan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button