SEREMBAN: Melalui pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 di bawah bidang tumpuan Pemerkasaan Belia, Wanita dan Sukan sejumlah RM10.40 juta telah diperuntukkan bagi bidang ini.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor berkata, RM3.0 juta diperuntukkan bagi program pemerkasaan infrastruktur sukan.
“Sebanyak RM3.0 juta lagi diperuntukkan untuk pengurusan dan pemerkasaan belia dan sukan.
“Bagi penganjuran Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2025, peruntukan sebanyak RM1.0 juta disediakan.
“Geran Aktiviti JPKK dan Geran Belia dan Beliawanis pula melibatkan peruntukan RM2.20 juta.
“Sementara peruntukan RM1.20 juta bagi Bantuan Care For You (C4U) Ibu Tunggal,” kata Mustapha.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, untuk tahun 2025, Kejohanan Sukan Negeri Sembilan ditambah baik dengan penambahan sukan.
“Pada tahun 2024 penganjuran hanya melibatkan empat sukan iaitu Futsal Lelaki, Sepak Takraw Lelaki, Badminton Berpasukan dan Bola Jaring dengan kos penganjuran berjumlah RM500,000.
“Bagi sukan-sukan yang terlibat dalam Kejohanan Sukan Negeri Sembilan Tahun 2025, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Sembilan akan menambah bilangan penganjuran sukan melalui konsep yang lebih luas dan terbuka.
“Melalui Kejohanan SUKNES juga, pihak persatuan yang terlibat akan membuat pemilihan untuk bakat-bakat baru untuk diserapkan dalam program pembangunan persatuan atau Majlis Sukan Negeri,” jelas Mustapha.