Berita

Biar mati anak, jangan mati adat

SEREMBAN : “Biar mati anak, jangan mati adat,” pesan turun-temurun yang terus menjadi pegangan masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

 

Menurut Hajah Fatimah binti Ramlan, anak jati Rembau yang ditemui semasa Festival Adat Perpatih di Muzium Negeri Sembilan adat warisan turun-temurun ini perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan zaman.

 

“Setiap tahun kami hadir untuk meraikan festival ini. Tahun lepas di Nilai, tahun ini di sini pula. Sebagai anak Negeri Sembilan yang hidup berteraskan Adat Pepatih, kami tak akan lepaskan peluang untuk sama-sama menghargai warisan nenek moyang kita,” katanya.

 

Hajah Fatimah juga menjelaskan bahawa Adat Pepatih bukan sekadar adat perkahwinan tetapi satu sistem sosial dan kekeluargaan yang menitikberatkan keseimbangan, keadilan dan penghormatan terhadap wanita.

 

“Ramai salah faham bila sebut kahwin dengan orang Negeri Sembilan nanti keluar rumah sehelai sepinggang. Sebenarnya bukan begitu. Ia bukan tentang harta atau hak milik semata-mata tetapi tentang menjaga keharmonian dan maruah keluarga. Adat ini memberi perlindungan kepada wanita bukan menindas sesiapa,” katanya.

 

Menurut beliau, amalan tradisi seperti merisik, meminang dan pertunangan masih dijalankan berlandaskan adat. Semua urusan melibatkan perkahwinan perlu dimulakan dengan menjemput Tok Lembaga dan disertai dengan adat membawa tepak sirih.

 

“Adat masih digunakan sampai sekarang. Kena ada ibu soko kena menjemput Tok Lembaga. Bila Dato’ dah datang barulah majlis pertunangan boleh dijalankan. Amalan ni tak hilang, masih kekal sampai hari ini,” katanya.

 

Selain itu, temannya Hajah Kontek Kamariah Binti Mohd Ali yang berusia 68 tahun itu turut menerangkan bahawa di bawah sistem Adat Pepatih terdapat 12 suku utama. Dan masing-masing dipimpin oleh Dato’ Lembaga, Buapak dan Ibu Soko yang memainkan peranan memastikan adat terus dihormati.

 

“Ibu Soko ni tarafnya tinggi. Dia boleh bersuara dalam hal adat. Malah, pelantikan undang pun dibuat atas cadangan ibu soko dalam suku yang layak,” katanya sambil menambah hanya Suku Biduanda yang berhak melantik undang.

 

Pameran yang diadakan sempena festival kali ini memaparkan keunikan adat dari setiap daerah di Negeri Sembilan seperti Rembau, Johol, Tampin dan Inas berserta undang-undang adat yang diamalkan sejak turun-temurun.

 

“Pameran ni sebenarnya pamerkan setiap daerah dalam Negeri Sembilan. Macam Rembau, Johol, Tampin dan Inas. Daerah ini semua ada adat masing-masing yang mengikut undang-undang suku” jelas Hajah Fatimah.

 

Beliau menegaskan bahawa festival seumpama ini amat penting bagi memastikan adat tidak lenyap dan terus difahami oleh generasi baharu.

 

“Untuk mengekalkan adat ni, setiap keluarga kena ambil tanggungjawab. Kalau satu keluarga kekalkan adat, sepuluh keluarga lagi pun akan ikut. Tapi kalau satu tak buat, anak cucu generasi akan datang pun tak tahu apa itu Adat Pepatih,” katanya.

 

Menurutnya, sebahagian anak muda kini tidak lagi memahami sepenuhnya tentang Adat Pepatih terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar.

 

“Kebanyakan anak muda sekarang tak tahu apa itu Adat Pepatih. Tapi kalau di kampung-kampung, adat masih kuat diamalkan dan sudah pun diterapkan sejak kecil. Cuma bila duduk di bandar, adat ni kurang diamalkan,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau yakin adat ini akan terus kekal sepanjang zaman selagi masyarakat Negeri Sembilan berpegang teguh kepada nilai asalnya.

 

“Walau di mana pun kita, Adat Pepatih akan tetap kekal sampai bila-bila. Sebab ia bukan sekadar adat tapi simbolik jati diri kita sebagai anak Negeri Sembilan,” katanya dengan penuh bangga.

 

 

Selain adat perkahwinan dan kekeluargaan, Hajah Fatimah turut berkongsi keunikan Negeri Sembilan yakni terserlah melalui bahasa dan budaya setempat yang berbeza mengikut daerah.

 

“Kalau orang Rembau cakap ‘mentereng’ maksudnya kenyang. Tapi kalau orang daerah lain sebutannya lain pula. Bahasa pun unik dan setiap daerah ada dialek masing-masing,” katanya sambil tersenyum.

 

Beliau turut menyentuh tentang larangan perkahwinan sesuku dalam adat.

 

“Kalau sama suku tak boleh kahwin, sebab dalam adat kita itu macam keluarga sendiri. Kalau nak kahwin juga, kena keluar dari suku atau daerah tu. Tapi bukan sebab adat menolak Islam, adat ni cuma menjaga keturunan dan kesejahteraan zuriat,” jelasnya.

 

 

Dalam festival itu, pelbagai pameran turut menampilkan pakaian tradisional dan juadah tempatan Negeri Sembilan seperti rendang, masak lemak cili api, wajik, kuih menderam dan dodol.

 

“Kalau di Rembau, kita panggil dodol tu ‘panganan’. Di tempat lain mungkin lain sebutannya. Itu pun satu keunikan Negeri Sembilan,” ujarnya.

 

Mengakhiri perbualan, Hajah Fatimah menyeru rakyat Malaysia agar lebih mengenali dan menghargai adat setiap negeri.

 

“Kita ni rakyat majmuk. Setiap negeri ada kebesaran masing-masing. Kalau negeri lain ada adatnya sendiri, kami di Negeri Sembilan bangga dengan Adat Pepatih. Inilah identiti kami. Selagi ada nama Negeri Sembilan, selagi itu adat ini takkan lupus,” katanya sambil tersenyum dan menzahirkan rasa cinta terhadap negeri kelahirannya.

Show More

Related Articles

Back to top button