Berita

Bila orang kena gigit anjing, di mana NGO pencinta haiwan?

Kes terbaharu di Port Dickson pada 7 Mei 2025

SEREMBAN: Kes serangan anjing liar terhadap orang awam agak membimbangkan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kes terbaharu yang berlaku pada 7 Mei membabitkan seorang remaja digigit haiwan berkenaan di Port Dickson.

“Hari ini (Rabu) pun ada kes berlaku di Port Dickson, hasil maklumat daripada pegawai saya, seorang remaja digigit anjing liar.

“Mereka yang memelihara anjing jangan lepas tangan. Apabila tidak suka binatang itu dibuang begitu saja dan kemudian minta kita (kerajaan) pula ambil tanggungjawab.

“Bila orang cedera kena gigit anjing atau berlaku kemalangan kerana dikejar anjing, di mana NGO dan pencinta haiwan?

“Banyak kes gigit anjing berlaku tapi saya tengok tak ada pun mereka (NGO) datang tengok.

“Kita kena adil, banyak aduan kes anjing liar diterima yang perlu diambil tindakan,” kata Aminuddin semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Menurut Aminuddin lagi, isu pada masa ini ialah anjing liar terlalu banyak berkeliaran dan ini hanya berlaku dalam negara.

“Kalau lihat di bandar-bandar utama seperti Jepun dan China, tidak nampak anjing liar berkeliaran.

“Jadi saya harap dapat kerjasama daripada semua pihak. Mereka yang memelihara, uruskan dengan betul,” ujarnya.

Aminuddin berkata, isu anjing liar kini turut merebak ke kawasan kampung hingga penduduk risau untuk membela ayam dan itik kerana bimbang diserang anjing liar.

“Dalam soal ini kita perlu saling hormat-menghormati, barulah hidup harmoni,” ulas beliau.

Dalam pada itu Aminuddin menjelaskan cadangan pelupusan anjing liar di Negeri Sembilan akan mengikut tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan undang-undang.

“Pelaksanaannya tidak akan dibuat secara sewenang-wenangnya atau semberono.

“Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan itu ialah mengikut SOP dan tatacara, bukan nak lupuskan secara semberono atau menembak anjing secara melulu.

“Ada akta haiwan yang perlu dihormati dan perkara ini akan diserahkan kepada pihak berwajib.

“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ada kaedah pelupusan bagi menyelesaikan masalah anjing liar tidak terkawal yang boleh menyebabkan kacau ganggu,” kata beliau.

Pada masa sama, katanya, NGO dan pencinta haiwan juga perlu memainkan peranan dalam program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) dengan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan jika merasakan kaedah itu berkesan menangani pembiakan haiwan liar tersebut.

 

Show More

Related Articles

Back to top button