Negeri Sembilan sasar tiada pekerja asing menetap di kawasan perumahan dalam tempoh tiga tahun

SEREMBAN: Negeri Sembilan ke arah pembangunan Centralised Labour Quarters (CLQ) untuk membolehkan pekerja-pekerja asing ditempatkan di sesuatu kawasan supaya mudah untuk menguruskan dan mengawal mereka jika berlaku sebarang pandemik atau apa sahaja perkara tidak diingini pada masa akan datang.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, selain itu, ia juga membantu untuk mengurangkan masalah sosial dan pelbagai perkara yang berpunca daripada warga asing di kawasan perumahan.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga tidak membenarkan kelulusan baharu kepada pekerja warga asing tinggal di kawasan perumahan bermula tahun ini.
“Tetapi beberapa pengecualian case by case diberikan kerana CLQ masih belum siap dan tidak mencukupi.
“Tetapi dalam tempoh tiga tahun bermula 2025 sehingga 2027 dibenarkan juga tempat penginapan di kawasan komersial di bawah kategori TLQ.
“Oleh itu, dalam tiga tahun Kerajaan Negeri Sembilan mengharapkan lebih banyak CLQ dapat dibangunkan oleh pemaju swasta,” kata Arul Kumar.
Menurut Arul Kumar lagi, apabila di sesuatu kawasan sudah mempunyai CLQ yang mencukupi, beberapa agensi kerajaan akan mulaka penguatkuasaan terhadap pekerja warga asing yang tinggal di kawasan perumahan kelak.
“Di harap dalam tiga tahun ini semua kawasan perumahan di Negeri Sembilan tidak akan diduduki oleh pekerja warga asing dan semua dipindahkan ke CLQ.
“Saya juga berharap pembinaan CLQ juga mengambil kira semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing dan kami menggalakkan pembangunan CLQ berkonsepkan apartment.
“Ia membolehkan pekerja warga asing juga dapat tinggal dalam keadaan yang selesa dan dapat mengawal pelbagai perkara dengan lebih senang,” jelas beliau.
Arul Kumar berkata demikian selepas melawat CLQ i-Asrama Harmoni PDG, di Ayer Keroh, Melaka.
Turut bersama ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan pegawai NS Corp.