
SEREMBAN: Walaupun penggunaan teknologi digital khususnya kecerdasan buatan (AI) kini merupakan antara teknologi utama dalam transformasi kerajaan digital, namun pelaksanaannya dalam menawarkan solusi dan penyelesaian masalah sebenar masih berdepan pelbagai cabaran dan perlu ditangani dengan teliti.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, cabaran seperti ‘Paradoks Produktiviti Kecerdasan Buatan’ atau lebih dikenali sebagai ‘AI Productivity Paradox’ merupakan fenomena atau risiko yang merujuk kepada situasi pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi yang tidak semestinya meningkatkan produktiviti.
“Fenomena ini berlaku kerana kekurangan kemahiran dan latihan dalam kalangan pengguna serta kelemahan dalam integrasi sistem akibat data yang terasing antara jabatan.
“Produktiviti juga terjejas kerana proses penyesuaian cara kerja baharu menggunakan teknologi mengambil masa yang lama.
“Selain itu, AI Productivity Paradox juga berlaku apabila teknologi baharu digunakan tanpa strategi yang jelas atau ukuran impak yang tepat.
“Tumpuan hanya diberikan kepada penerapan teknologi tanpa melihat manfaat dan kesannya secara menyeluruh kepada pengguna dan rakyat,” jelas Aminuddin.
Menurut Aminuddin, perkara ini turut ditekankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa teknologi AI tidak boleh dielak namun penggunaannya perlu selari dengan nilai manusia seperti maruah, keadilan dan integriti.
“Sehubungan dengan itu, antara perkara yang perlu diberi tumpuan oleh semua pihak dalam mengaplikasikan teknologi digital ini ialah tadbir urus, cabaran integrasi dan penilaian impak.
“Semua jabatan diseru agar membuat penilaian dan semakan secara menyeluruh serta mengambil kira semua faktor apabila mengaplikasikan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam agar fenomena AI Produktivity Paradox dapat dielak dan ditangani dengan baik.
“Penjawat awam juga diseru untuk terus memperkukuh diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dalam bidang teknologi digital serta kecerdasan buatan.
“Latihan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat perlu menjadi budaya kerja agar setiap individu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat dan memastikan perkhidmatan awam kekal cekap, responsif dan berimpak tinggi,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Sembilan 2025 di Royale Chulan, Seremban.



