Cha: Pemerkasa Plus ‘Indah khabar dari rupa’
Daripada RM40 bilion, hanya RM5 bilion yang diberikan secara terus kepada rakyat
RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin berkata, pengumuman Pemerkasa Plus oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membawa makna yang besar dan gagal membantu mereka yang terkesan.
1. Bantuan one-off kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 hanya RM500, manakala isi rumah yang pendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 hanya dapat RM300.
“Jumlah ini sangat kecil dan tidak memadai untuk membantu mereka yang terjejas, terutamanya ada kemungkinan yang munasabah bahawa PKP3.0 ini akan dilanjutkan selepas 14 Jun.
2. Moratorium bank selama tiga bulan, hanya untuk B40 (itu pun kena hubungi bank), tiada manfaat kepada golongan M40, kecuali mereka membuktikan bahawa mereka turut terjejas, iaitu beban bukti terletak pada bahu mereka sendiri.
“Sepatutnya moratorium secara automatik (tanpa permohonan) kepada semua golongan B40 dan M40, kerana bank adalah golongan kaya yang sepatutnya memberikan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang terkesan.
3. Diskaun bil TNB hanya kepada golongan yang kecil sahaja, itu pun hanya 10 peratus, kadar yang sangat tidak memadai.
“Pengguna domestik langsung tak dapat apa-apa manfaat, padahal disuruh “stay at home”, pastinya bil domestik akan meningkat mendadak pada bulan Jun 2021 seperti mana yang berlaku pada Mac dan Apr 2020.
4. Subsidi upah hanya sebulan sahaja, itu pun tidak dinyatakan berapakah subsidi untuk seorang pekerja, apakah masih pada kadar RM1,200 untuk setiap orang pekerja?
“Daripada RM40 bilion yang dinyatakan, sebenarnya hanya RM5 bilion sahaja yang diberikan secara terus dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Maknanya baki RM35 bilion hanya indah khabar dari rupa, bukannya suntikan dana secara langsung tetapi ia adalah fiskal atas kertas sahaja,” kata Cha.
Menurut Cha lagi, beliau menyambut baik lanjutan Home Ownership Campaign (HOC) sehingga 31 Dis 2021, yang dijangka akan dapat merancakkan lagi industri pembinaan dan perumahan swasta.
“Ini bukti jelas polisi yang dimulakan ketika zaman Pakatan Harapan, adalah skim yang baik dan kini diteruskan,” ujar Cha yang juga Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Sembilan.