BeritaMenarikProgram

Negeri Sembilan catat kutipan hasil tertinggi dalam sejarah: RM636 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sehingga 31 Disember 2024, hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM636 juta bersamaan 122.31 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM520 juta.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan mencerminkan dedikasi, integriti, dan usaha gigih seluruh penjawat awam di Negeri Sembilan.

“Kita semua dapat merasai perubahan pentadbiran yang telah dilakukan sehingga Kerajaan Negeri ini telah mencapai lebihan pendapatan untuk tiga tahun berturut-turut. Tahniah kepada semua,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, inilah hasil muafakat dan integrasi gabungan muka lama dan baharu anggota pentadbiran yang berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri.

“Maka, melalui rencana Kerajaan Perpaduan yang ada, saya percaya amanah dan semangat kerja tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus utuh demi memacu sebuah pembaharuan yang bermakna khususnya di Negeri Sembilan.

“Namun, saya ingin mengingatkan bahawa pencapaian ini bukanlah alasan untuk kita berasa selesa.

“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab untuk terus meningkatkan prestasi dan memastikan setiap sen yang dikutip digunakan dengan cekap, berhemah, dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” ujar beliau lagi.

Aminuddin berkata demikian di Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, adalah menjadi harapan kerajaan agar penjawat awam di Negeri Sembilan untuk terus memperkasa ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologi digital.

“Seiring dengan hasrat Dato’ Setiausaha Kerajaan yang mahukan seluruh warga kerja Negeri Sembilan yang berdaya tahan dan kompeten selari dengan peredaran zaman.

“Menurut Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Dunia 2023, AI akan memberi impak besar terhadap hampir semua pekerjaan. Dapatan kajian menunjukkan lebih 75 peratus syarikat bersiap sedia untuk menggunakan teknologi AI dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Justeru, penjawat awam Negeri Sembilan juga harus bersiap bersedia, tidak ketinggalan dan menjadi penggerak ekonomi digital dalam negara ini.

“Waima secanggih atau sebaik mana pun sesuatu teknologi, pengurusan dan penggunaannya harus dilakukan secara beretika dan berhati-hati,” jelas Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button