BeritaMenarikProgram

45,000 penjawat awam Kerajaan Persekutuan terima ‘Bantuan Raya’ dari Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengumumkan bantuan khas kewangan RM200 kepada semua penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang bertugas di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, ini kali pertama bantuan ini diberikan kepada lebih 45,000 penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di Negeri Sembilan.

“Semua kakitangan awam jabatan persekutuan di Negeri Sembilan termasuk tentera, polis, guru dan kakitangan hospital serta klinik kesihatan kerajaan akan mendapat bantuan khas ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penjawat awam Kerajaan Persekutuan sempena menyambut bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Bantuan kewangan ini juga sebagai tanda terima kasih di atas usaha yang dilaksanakan dan membawa banyak kejayaan kepada Kerajaan Negeri Sembilan walau pun negeri kita ini kecil.

“Saya ingin mengingatkan bahawa inisitif ini datang dengan tanggungjawab yang lebih besar agar kita terus berusaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Aminuddin menambah, beliau meletakkan harapan agar penjawat awam Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Negeri Sembilan dapat melakukan perubahan dengan insentif yang diberikan ini.

“Perlu bekerja lebih tekun, bersedia melaksanakan reformasi pada diri, serta sentiasa cakna kepada keadaan sekeliling, agar dapat mensesuaikan ikut keperluan semasa.

“Saya mohon kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri agar dapat mengkaji SOP lama yang telah diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat ditambah baik bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Jabatan yang berjaya menambah baik SOP yang memberi manfaat kepada rakyat perlu diberi penghargaan di atas komitmen yang ditunjukkan seiring usaha reformasi dalam perkhidmatan awam,” ujar Aminuddin lagi.

Aminuddin berkata demikian di Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Selasa.

Show More

Related Articles

Back to top button