Berita

Kota MADANI di Putrajaya gabung infrastruktur digital dan mobiliti hijau

Putrajaya: Konsep Kota MADANI menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat, bakal dibangunkan di Putrajaya melibatkan keluasan 41 hektar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr.Zaliha Mustafa berkata, projek berintensiti tinggi dan vertikal itu akan menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk serta menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih dan sistem mobiliti hijau.

“Pembinaan Kota Madani selari dengan visi Bandar CHASE yang menekankan aspek keterangkuman, kemampanan dan teknologi.

“Antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi TVET, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, semuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.

“Fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina dan warisan,” kata Zaliha semasa memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Zaliha berkata, ia menjadi asas kepada bandar rendah karbon yang menjunjung kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

“Projek ini bakal menjadi simbol pemerkasaan dasar ruang bandar baharu yang progresif dan berteraskan nilai MADANI, dengan majlis pecah tanah dijadualkan pada 26 Jun 2025.

“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat Bersama,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button