BeritaNaratif Kito

Sudah Lama Kita tertipu

Ahmad Shahir Mohd Shah

Orang Melayu ini pelik bangsanya. Hidup sederhana, tidak banyak meminta, mudah menerima dan terlalu tinggi budinya. Kadang-kadang sampai lupa bahawa tidak semua manusia tahu mengenang budi. Sejarah sudah lama mengajar — orang Melayu bukan kalah kerana lemah, tetapi kerana terlalu baik kepada mereka yang datang “menumpang”.

Zaman British, kita beri ruang akhirnya tanah sendiri tergadai perlahan-lahan. Zaman Jepun pula lebih menyakitkan, orang Melayu dikerah seperti hamba di bumi sendiri. Anehnya, selepas semua luka itu, masih ada yang berkata “orang Melayu mudah lupa”. Bukan mudah lupa, tetapi terlalu mudah memaafkan.

Selepas merdeka, lahirlah pemimpin-pemimpin Melayu yang membina negara dengan jiwa besar. Tunku Abdul Rahman meletakkan asas kemerdekaan, Tun Abdul Razak membina kekuatan ekonomi Melayu, manakala Tun Hussein Onn menjaga kestabilan negara dengan penuh integriti.

Ketika itu orang Melayu percaya — negara ini sedang dibina untuk semua, tetapi orang Melayu tidak akan ditinggalkan di tanah sendiri.

Namun lama-kelamaan, suara orang Melayu mula berubah. Bukan kerana mereka tiba-tiba benci kepada bangsa sendiri, tetapi kerana mereka mula sedar ada sesuatu yang tidak kena. Ketika kuasa terlalu lama berada di tangan kelompok tertentu, rakyat mula melihat kekayaan negara berputar dalam bulatan yang sama.

Projek bertukar menjadi kroni. Politik bertukar menjadi warisan kelompok elit. Yang bercakap soal Melayu hidup mewah, tetapi orang Melayu di kampung masih berkira-kira membeli beras hujung bulan.

Ironinya, yang paling banyak bercakap tentang “membela Melayu” kadang-kadang ialah orang yang paling lama menghisap darah Melayu. Mereka melaungkan ketuanan di pentas, tetapi diam-diam membina kekayaan anak-beranak. Mereka marah orang luar kononnya mahu merampas hak Melayu, sedangkan merekalah yang lebih dahulu menyapu peluang orang Melayu biasa. Orang kampung disuruh bersabar, tetapi rumah agam mereka semakin besar setiap kali pilihan raya selesai.

Akhirnya orang Melayu hidup dalam dua dunia. Yang miskin terus mewarisi kemiskinan. Yang kaya pula semakin jauh daripada denyut nadi rakyat. Anak muda Melayu disuruh bersyukur walaupun peluang makin sempit. Bila bersuara dianggap derhaka. Bila diam terus dipijak.

Yang peliknya, setiap kali bangsa Melayu lemah, akan muncul orang Melayu juga yang paling lantang meminta bangsa ini terus taat kepada sistem yang menindas mereka.

Hakikat paling pahit ialah ini — orang Melayu bukan tidak pandai, bukan malas, bukan tidak mampu bersaing. Tetapi terlalu lama ditipu oleh “orang Melayu” sendiri. Penjajah dahulu datang dengan kapal dan senjata. Penjajah hari ini datang dengan songkok, slogan dan janji pilihan raya. Yang dahulu merampas tanah, yang sekarang merampas masa depan bangsa sendiri.

Sebab itu orang Melayu perlu berubah. Bukan berubah membenci bangsa lain. Tetapi berubah daripada terus memuja pemimpin yang menggunakan Melayu hanya ketika mereka perlukan undi. Bangsa ini tidak akan bangkit selagi pengkhianat berbaju Melayu terus dianggap penyelamat bangsa.

Kadang-kadang musuh paling bahaya bukan yang datang dari luar pagar — tetapi yang duduk makan semeja sambil menjual maruah bangsanya sendiri.

FAKTA : RIZAB TANAH MELAYU DI NEGERI SEMBILAN MENINGKAT – SUMBER PEJABAT TANAH DAN GALIAN NEGERI SEMBILAN

Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar terus komited memastikan keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri ini kekal terpelihara dan konsisten meningkat dari semasa ke semasa.

Berdasarkan data yang direkodkan, keluasan Tanah Rizab Melayu pada tahun 2012 adalah sebanyak 237,727.0625 hektar, manakala sehingga Mac 2026, jumlah tersebut telah meningkat kepada 238,204.44 hektar.

Data ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja mempertahankan status Tanah Rizab Melayu, malah terus berusaha memastikan aset penting orang Melayu ini dipelihara dengan baik demi kepentingan generasi akan datang.

Sehubungan itu, tuduhan kononnya Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menjual Tanah Rizab Melayu kepada orang bukan Melayu adalah satu fitnah yang tidak berasas dan berniat jahat.

Naratif seperti ini sengaja dimainkan oleh pihak tertentu bagi memburukkan imej kerajaan negeri serta menafikan pelbagai pencapaian dan prestasi baik yang telah berjaya dilaksanakan untuk rakyat. Hakikatnya, angka dan data rasmi jelas menunjukkan berlakunya peningkatan keluasan Tanah Rizab Melayu sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan hari ini.

Rakyat Negeri Sembilan perlu menilai secara matang dan teliti segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan kebajikan rakyat, memperkasakan ekonomi negeri serta menyediakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi keseimbangan kepada kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan hak-hak rakyat Negeri Sembilan.

Dalam masa yang sama, cubaan mencemarkan keharmonian Negeri Sembilan dengan memainkan sentimen perkauman merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan adat serta budaya masyarakat Negeri Sembilan yang terkenal dengan nilai muafakat dan hormat-menghormati.

Rakyat Negeri Sembilan perlu bersatu menolak politik kebencian, fitnah dan adu domba yang hanya akan merosakkan perpaduan masyarakat.

Ayuh rakyat Negeri Sembilan, kita pertahankan keharmonian negeri ini dengan menolak sentimen perkauman dan fitnah jahat yang memecah-belahkan rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button