BeritaMenarik

Tiga tumpuan utama reformasi sistem kesihatan tahun 2025

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi fokus kepada tiga tumpuan utama pada tahun 2025.

Menteri Kesihatan, Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, antara tiga tumpuan utama KKM pada tahun ini adalah reformasi pembiayaan kesihatan, usaha pendigitalan kesihatan serta penyusunan semula sumber manusia untuk menambahbaik dan mempertingkatkan lagi kualiti penyampaian sistem kesihatan negara.

“Selain itu, untuk mendepani pandemik penyakit tidak berjangkit (NCD) secara head-on, kita juga akan lancarkan kempen perangi garam (war on salt) pada tahun ini.

“Usaha ini penting untuk melengkapi strategi perangi gula (sugar) dan asap rokok (smoke) sedia ada.

“Usaha reformasi sistem kesihatan sedang berlangsung dan akan digiatkan lagi melalui perancangan strategik yang telah kita susun di KKM.

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh warga KKM untuk bersama-sama saya dalam merealisasikan visi besar kita ini.

“Insya-Allah, tahun 2025 kita akan menjadi tahun yang gemilang untuk kesihatan rakyat dan negara,” katanya di Majlis Amanat Menteri Kesihatan 2025.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengimbas pencapaian luar biasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun 2024.

“Pelbagai reformasi perundangan dan dasar telah kita laksanakan, termasuk penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok [Akta 852], pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50], dan pengenalan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan 2.0.

“Langkah-langkah ini memperkukuh usaha kami dalam meningkatkan kesedaran kesihatan dan keselamatan makanan di seluruh negara.

“Dari sudut pembangunan sumber manusia, saya berbangga melihat penyerapan 3,950 pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi kontrak ke jawatan tetap, serta pewujudan jawatan baharu seperti Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan untuk program perubatan pergigian serta keselamatan dan kualiti makanan.

“Peningkatan insentif dan elaun juga mencerminkan penghargaan kami terhadap pengorbanan dan dedikasi petugas kesihatan di lapangan,” jelas beliau.

Menurut Dzulkefly, dalam memastikan kemakmuran kesihatan awam, KKM telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti Kempen Perangi Gula, Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK), Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS), dan Pelan Tindakan Kesihatan Warga Emas 2023-2030.

“Saya juga amat berbesar hati melihat pengiktirafan diberikan kepada premis makanan bersih, selain usaha memperkukuh penjagaan kesihatan komuniti Orang Asli dan 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak.

“Ini semua adalah usaha menyeluruh Kementerian dalam penjagaan kesihatan secara ‘from womb to tomb’.

“Transformasi perkhidmatan kesihatan menjadi agenda utama kami, termasuk pendigitalan melalui aplikasi seperti MySejahtera, MyUBAT, dan Dental Information System (DIS).

“Kami juga terus mendahului inovasi dengan inisiatif seperti MyGENOM dan program penyelidikan klinikal yang bertaraf dunia, memastikan sistem kesihatan negara kekal moden dan progresif,” ujarnya.

Dzulkefly berkata, Malaysia juga terus melakar nama di pentas global melalui penyertaan dalam Agenda Kerintangan Anti Mikrob (AMR), Inisiatif Kesihatan Paru-Paru di WHA dan UNGA, serta persidangan antarabangsa seperti IMDEC dan INTRACOM. Peranan ini membuktikan komitmen kita dalam menyumbang kepada agenda kesihatan global.

“Segala pencapaian ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua warga KKM.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua atas usaha yang tidak pernah kenal lelah dalam memastikan kesihatan rakyat terus menjadi keutamaan kita bersama,” ulas beliau.

 

Show More

Related Articles

Back to top button